Sunday, September 21, 2008

Duit Raya - Lagi OKU dan Warga Emas Dianiaya JKKK

Ditulis oleh Editor
Friday, 19 September 2008

Dungun - Kira- kira 100 penduduk Kampung Sungai Buaya di sini termasuk 10 orang kurang upaya (OKU) dan warga emas kecewa tidak menerima dana bantuan Aidilfitri dari kerajaan negeri yang mula diagihkan sejak kelmarin.
Mereka mendakwa layak menerima bantuan tersebut dan sudah mengisi borang permohonan tetapi tidak menerima bantuan yang diagihkan di kampung berkenaan semalam.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM46.6 juta sebagai bantuan Hari Raya tahun ini kepada penduduk miskin, warga emas, OKU dan ibu tunggal dan senarai nama penerima dipilih oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

Seorang penduduk cacat penglihatan, Ismail Man, 73, berkata, dia pernah menerima bantuan berkenaan tahun lepas tetapi dimaklumkan oleh pihak JKKK bahawa dia tidak layak menerimanya tahun ini.

''Saya ada jumpa pihak JKKK sebelum ini dan diberitahu bantuan ini bukan untuk semua orang tetapi untuk mereka yang bertugas dalam pilihan raya umum baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Warga emas yang cacat penglihatan sejak kecil itu berkata, dia kini hidup seorang diri tanpa sebarang mata pencarian dan hanya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

''Jika saya dapat bantuan hari raya itu ia dapat mengurangkan sedikit beban kehidupan harian. Kadang-kadang makan pun tak cukup," katanya yang membela sejumlah ekor ayam dan menjual telur ayam berkenaan untuk menampung kehidupan harian.

Rakannya, Muhammad Yahya, 61, berkata, dia juga sudah empat kali menerima bantuan berkenaan namun kali ini dimaklumkan tidak layak menerimanya.

''Saya sudah isi borang permohonan yang diedarkan JKKK namun saya tidak menerima baucer untuk bantuan itu dan saya dimaklumkan saya tidak diberikan bantuan itu," katanya yang bekerja sebagai tukang urut untuk menampung kehidupan hariannya.

Lelaki itu yang hidup sebatang kara tidak mempunyai ahli keluarga lain untuk membantunya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Hamiza Salmi, 30, berkata, lebih 100 penduduk kampung berkenaan layak menerima bantuan berkenaan berdasarkan kesempitan hidup mereka namun tidak dimasukkan dalam senarai.

''Mereka ini memerlukan bantuan untuk meringankan beban ketika menyambut Aidilfitri ini," katanya kepada Utusan Malaysia.


Bacaan Seumpama :

Angkara JKKK, OKU dinafikan duit raya?



Common Sense

ORANG ramai menyerbu kaunter untuk mengisi borang bagi mendapatkan wang dana khas kerajaan negeri di Dewan Sivik Buluh Gading, Manir, Kuala Terengganu semalam

Seramai 1,262 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Kuala Terengganu antara 150,000 penerima awal layak menerima duit raya bermula semalam.

Duit berjumlah minimum RM200 hingga RM400 itu merupakan dana khas sebanyak RM40 juta yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi membantu penduduk termiskin sempena Aidilfitri nanti.

Dalam agihan di Dewan Sivik Buloh Gading, Manir sebanyak RM383,600 telah diagihkan kepada enam kampung di bawah DUN tersebut iaitu Kampung Teluk Pasu, Sekati, Haji Awang, Tanjung Bunut, Buluh Gading dan Kubang Jela.

Antara penerima bantuan itu ialah 751 orang dari golongan miskin, 113 orang kurang upaya, 159 ibu dan bapa tunggal dan warga emas seramai 244 orang.

Agihan dana khas itu dijangka selesai diberikan kepada semua penduduk yang layak selewat-lewatnya Isnin depan melalui semua DUN masing-masing.

Berita diatas adalah dari sebuah akhbar perdana semalam. Cuba tengok wajah-wajah penduduk termiskin yang menerima duit itu semalam dibawah ini



http://buletinonline.net/


Angkara JKKK, OKU dinafikan duit raya?

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Tuesday, 02 September 2008


Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menyatakan Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM46.594 juta sebagai bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.


Ahmad berkata, bantuan hari raya tersebut adalah untuk 153,201 penduduk terdiri daripada golongan miskin yang berpendapatan bawah RM1,500, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Menurutnya, bantuan berupa wang tunai itu adalah dari wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban golongan tersebut membuat persiapan bagi menyambut hari kebesaran umat Islam itu.

"Bantuan akan mula diagihkan pada minggu pertama Ramadan ini dan akan diberi secara berperingkat-peringkat," katanya pada 25 Ogos lalu.

Beliau memberitahu, bagi golongan miskin melibatkan 90,490 penerima dan setiap keluarga akan menerima RM300, bagaimanapun jika keluarga berkenaan mempunyai lebih lima orang anak, mereka akan menerima RM500.


Namun sebaliknya tinjauan Buletin Online mendapati bukan semua rakyat dapat merasai ‘nikmat’ dana khas ‘duit raya’ yang dinyatakan oleh Ahmad.


Antaranya adalah sebuah keluarga miskin warga emas dari Kampung Bukit Nenas, Encik Nasir Hamzah, dari Kampung Bukit Nenas, dekat sini.


Beliau yang ditemui baru-baru ini mendakwa tidak menerima sebarang bantuan dana khas raya kecuali ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu sebelum tahun 2004.


Walaupun beliau adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini, namun menurutnya bantuan duit raya melalui dana khas telah ‘dipotong’ tanpa sebarang penjelasan.


“Saya tidak pernah bantuan raya dana khas sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu ini tetapi dahulu ada juga sekali-sekala.


“Bantuan dana khas saya sudah ‘dipotong’ tetapi orang lain yang lebih senang dan berkemampuan terus dapat duit raya atau zakat,” jelasnya.


Beliau yang juga tergolong di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana masalah penglihatan masih menanggung persekolahan dua anak perempuan di peringkat menengah.


“Saya pun sudah lama tidak bekerja kerana masalah mata kabur dan mengharapkan bantuan bulanan pejabat kebajikan masyarakat,” ujarnya.


Walaupun begitu, beliau yakin bahawa rezeki adalah dari Allah SWT namun tangan-tangan manusia yang diberi amanah gagal untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil.


Tindakan pihak pemimpin masyarakat seperti JKKK, tidak wajar memilih ‘bulu’ atau berdendam dan bertindak menyisihkan beliau sepatutnya tidak berlaku, kata beliau.

http://buletinonline.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...