Sunday, September 21, 2008

Buat pengesahan semula di JPN


KUALA LUMPUR: Mangsa penyalahgunaan identiti, Mohd Ismail Sulaiman diminta pergi ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat pengesahan semula identiti sebagaimana rekod kelahiran dan maklumat dirinya.

Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor, berkata Mohd Ismail perlu ke JPN Pulau Pinang untuk membuat imbasan cap jari bagi mengesahkan semula identitinya.

“JPN akan membuat semakan rekod, dokumen dan cap jari untuk pengecaman. Mohd Ismail juga perlu membawa bersama semua dokumen berkaitan untuk tujuan pengesahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, JPN juga bersedia membantu Mohd Ismail mengesahkan identitinya jika dia menghadapi masalah berhubung identitinya apabila berurusan dengan pihak polis.

Bagi membersihkan dirinya daripada rekod jenayah dan hutang bank yang tidak pernah dibuatnya itu, Mohd Ismail juga diminta mengemukakan masalahnya kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Penguasa Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli, berkata Mohd Ismail boleh membersihkan rekod jenayah dan hukuman yang dilakukan lelaki Bangladesh itu dengan mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Negara.

Menurutnya, kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk tindakan lanjut kerana ia membabitkan kes pemalsuan identiti.

Beliau berkata, Mohd Ismail diminta supaya menulis surat dan mengemukakan dokumen berkaitan kepada Bahagian Urusetia Pentadbiran Polis Diraja Malaysia bagi memohon supaya rekod itu dipadamkan.

“Mohd Ismail juga boleh datang sendiri ke Bukit Aman memudah dan mempercepatkan kes ini diteliti dan diproses,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Mohd Ismail diminta menghubungi Bahagian Urusetia Pentadbiran melalui talian 03-22626222 atau berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di ibu negara.

Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Pelanggan Bank Negara (BNM) berkata, orang ramai yang mempunyai masalah identiti digunakan pihak lain untuk membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

Katanya, pelanggan terbabit perlu pergi ke bank berkenaan dan melaporkan masalah identiti digunakan untuk membuat pinjaman itu bersama sokongan salinan laporan polis yang sudah dibuat mengenai masalah itu.

Menurutnya, jika bank tidak menerima aduan yang dibuat, pelanggan dinasihatkan supaya membuat aduan secara bertulis kepada Unit Aduan di bank berkenaan.

“Orang ramai yang menghadapi kes identiti disalahgunakan pihak ketiga untuk membuat pinjaman juga dinasihatkan supaya mendapatkan laporan kredit daripada Bank Negara.

“Pelanggan hanya perlu membawa kad pengenalan dan lesen memandu (jika ada) dan mengisi borang khusus untuk mendapatkan laporan kredit sama ada di ibu pejabat BNM atau cawangan BNM berdekatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...