Sunday, September 21, 2008

Akta Hubungan Kaum Di Malaysia

Dilulus terbit pada Sunday, September 21 @ 14:45:00 MYT oleh SongkokPutih

Oleh AlKundangi

Bila Menteri Dalam Negeri menyebut keperluan kepada akta hubungan kaum di Malaysia, tentulah kita tertanya-tanya apakah pula akta itu dan kenapa pula negara ini perlukan satu akta mengenai hubungan kaum. Dalam kenyataan yang sama selanjutnya Syed Hamid AlBar menyatakan akta itu melibatkan soal integrasi, pendidikan dan ekonomi.

Persoalannya di sini ialah apakah hubungan antara kaum di Malaysia begitu renggang sehingga memerlukan satu akta digubal untuk itu?

Sejarah hubungan kaum di negara ini amat panjang, sama panjangnya dengan usia kemerdekaan negara ini. Antara syarat kemerdekaan dalam rundingan antara Tunku Abd.Rahman dan kerajaan British dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan bagi negara ini adalah persoalan hubungan antara kaum.

Semua rakyat jelata yang belajar sejarah memahami negara ini dihuni oleh tiga kaum terbesar,iaitu Melayu, China dan India.Tentu saja pihak British dan Tunku berunding mengenai kemerdekaan sedar tentang kedudukan kaum di sini. Sebab itu dalam rundingan itu disebut tentang permasalahan berkenaan yang terkenal dengan prinsip “jus soli,” di mana kaum Melayu hendaklah menerima kewarganegaraan kaum-kaum lain yang menetap di negara ini.

Sementara itu kaum-kaum lain itu,khususnya India dan China hendaklah mengiktiraf hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang Melayu. Hak-hak ini termaktub dalam perlembagaan seperti kedudukan Sultan dan Agama Islam serta pelajaran. Itulah antara lain yang dirundingkan oleh Tunku dan pihak British sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31.8.1957.

Dengan demikian,secara asasnya, akta hubungan kaum itu telah termaktub dalam perlembagaan negara,hanya ia tidak diperincikan sebagai satu akta yang tersendiri. Hubungan aantara kaum menegang pada tahun-tahun 1969, atau Mei 69, di mana waktu itu pergolakan politik agak meruncing terutama di Selangor, di mana UMNO kalah teruk pada pilihanraya 69. Namun tragedi berdarah itu tidak pula diikuti oleh suatu akta hubungan antara kaum.

Namun sesetengah sarjana menolak ia disebabkan oleh hubungan antara kaum, tetapi didorong oleh politik sempit murahan golongan tertentu. Pada tahun 1987 sekali lagi hubungan antara kaum di negara ini retak,bahkan ada ucapan-ucapan yang di luar logika manusia dilontarkan oleh mereka yang bertaraf menteri dengan perkataan seperti bunuh China,bunuh China.

Tahun itu menyaksikan UMNO berkonflik sesama sendiri,sehingga timbul kumpulan 11,Tun Salleh Abbas dipecat dari Ketua Hakim Negara, dan UMNO ditalkinkan oleh Tun Dr.Mahathir dan Tengku Razaleigh. Pertelagahan di antara keduanya menyebabkan UMNO diharamkan.

Namun dalam kedua-dua kes, iaitu Mei 69, dan peristiwa 1987, tidak pula kedengaran akta hubungan antara kaum itu perlu digubal. Tetapi ini dirasakan berlainan sekali pada tahun ini. Selepas UMNO/BN menang tipis dengan empat negeri terlepas ke tangan pembangkang, di samping usaha-usaha yang dijalankan oleh DS Anwar untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan menerusi pintu belakang, Menteri Dalam Negeri tiba-tiba pula mencadangkan supaya digubal satu akta hubungan di antara kaum.

Isu perkauman dimulakan atau dihangatkan oleh Ahmad Ismail, Ketua Umno Bukit Bendera yang menyebutkan kaum China menumpang di negara ini. Namun tindakan ke atas Ahmad Ismail cuma digantung keahliannya tiga tahun. Namun Raja Petra, Teresa Kok, dan seorang wartawan ditahan di bawah ISA,atau Akta Keselamatan Dalam Negeri, walaupun kedua-duanya dibebaskan kemudian.

Hanya Raja Petra yang masih ditahan. Tidak ada pun keperluan Akta Hubungan Antara Kaum kelihatan diperlukan dalam kes-kes ini. Soalnya kita tertanya-tanya, apakah perlu akta tersebut dalam keadaan sekarang? Apakah ia baik untuk rakyat Malaysia, atau adakah ia menambah-renggangkan lagi hubungan kaum di negara ini.Banyak akta-akta yang boleh digunakan untuk sesiapa yang cuba menimbulkan isu-isu sensitif yang melibatkan hubungan antara kaum di negara ini seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri,Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak.

Kesemua akta ini sebenarnya lebih bersifat mengongkong kebebasan rakyat termasuk kebebasan berfikir secara rasional.

Apakah Menteri Dalam Negeri ingin menambahpanjangkan senarai akta-akta yang sedia ada dan menyekat kebebasan masyarakat negara ini, yang mana ia sudah tentu akan lebih banyak ditujukan kepada pembangkang serta menyekat kebebasan intelektual rakyat negara ini. Apakah logika yang digunakan oleh Menteri Dalam Negeri yang lebih terkenal sebagi anak singa UMNO itu?

AlKundangi,
19.8.2008.



http://www.tranungkite.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...