Sunday, September 21, 2008

Politik dalaman 'pembunuh' sukan

MASIH segar dalam ingatan penulis yang berada di belakang gol Malaysia apabila gawang Chow Chee Keong ditembusi oleh Maghribi sebanyak dua kali pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka di Stadium Merdeka pada 1980.

Beberapa bulan sebelum itu seluruh negara asyik dengan kejayaan Malaysia mengatasi Korea Selatan dan Jepun untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik di Moscow.

Penulis juga sempat menonton kehebatan Ow Soon Kooi, Poon Fook Loke, Colin Sta Maria dan rakan-rakan mengawal bola hoki di atas padang rumput.

Lapangan olahraga ketika itu pula dibintangi nama-nama seperti Marina Chin, Mumtaz Jaffar, Zaiton Othman dan Rabuan Pit.

Malang sekali tidak banyak perkara positif yang dapat dibicarakan mengenai tiga sukan ini, disiplin yang dekat di hati pencinta sukan negara, terutama cara-cara sukan terbabit dikendalikan akhir-akhir ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diterajui oleh Sultan Ahmad Shah sejak 1984 tidak sunyi daripada kontroversi.

Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang dipimpin oleh politikus dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terus menerus dibelenggu permainan politik dalaman.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) bukan calang-calang individu.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Anwar Mohd. Nor, menduduki kerusi panas ini.

Tiga persatuan ini memiliki sentuhan diraja, pemimpin politik dan bekas penjawat awam.

Namun memegang kemudi persatuan ini tidak semudah yang disangka.

Ketiga-tiga sukan ini sentiasa dipantau dengan hebat, keputusan dan dasarnya sentiasa dipertikaikan.

Bahkan penulis sukan yang membuat liputan sukan-sukan terbabit tidak terlepas daripada ditohmah dan dituduh mempunyai agenda jika dilihat terlalu rapat dengan tokoh-tokoh tertentu sama ada dalam bentuk penulisan mahupun tindak-tanduk di belakang tabir ataupun secara terang-terangan.

Kerusi paling panas di FAM, selain yang diduduki oleh jurulatih kebangsaan ialah jawatan setiausaha agung.

Tajuk utama akhbar akhir-akhir ini banyak memperlekehkan cara urus setia FAM yang dikendalikan oleh Datuk Azzuddin Ahmad.

Hinggakan Azzuddin dilaporkan menuntut sebuah akhbar tabloid untuk meminta maaf kerana menuduh penulis artikel itu menyerang peribadi beliau dan ini mengundang kekecewaan Sultan Ahmad Shah.

Bagi mereka yang mengenali Azzuddin, beliau dianggap seorang yang ‘ikut buku’.

Setiap resit perbelanjaan disimpan.

Ketika beliau mengepalai Jawatankuasa Disiplin FAM, Azzuddin sentiasa ditemani buku garis panduan kecil yang disediakannya sendiri untuk dijadikan panduan oleh anggotanya dalam membuat keputusan.

Ketika mengurus pasukan bawah 20 negara yang antara lain dianggotai Aidil dan Zaquan Abdul Radzak, Safiq Rahim, Samransak Kram dan Azlan Zainal pada 2004-2006, Azzuddin dianggap ibarat bapa kepada pemain dan beliau tidak lokek membelanjakan wangnya sendiri.

Namun genap setahun beliau dilantik menggantikan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, Azzuddin dilempar pelbagai tuduhan. Surat layang dan memorandum diedarkan serta diserahkan kepada Sultan Ahmad Shah menerusi orang tengah.

Bagi penulis mudah saja. Azzuddin harus diberi peluang mempertahankan dirinya.

Jika hujah yang dikemukakan oleh Azzuddin kurang meyakinkan, beliau harus rela melepaskan jawatan.

Namun jika Azzuddin berjaya membuktikan tuduhan-tuduhan itu satu pembohongan, nama beliau harus dibersihkan.

Azzuddin dituduh kurang mesra media. Namun kerap kali kenyataannya disiarkan dalam akhbar. Azzuddin melayan panggilan telefon, mudah dihubungi dan kerap bergurau dalam sidang akhbar apabila berdepan media.

Ini hakikat dan boleh dijelaskan oleh mana-mana wartawan yang objektif.

Malah beliau sudah menyatakan hasrat kepada kakitangannya untuk mengadakan satu sesi ramah tamah dengan media, disusuli pembentangan power point, perlawanan persahabatan antara FAM dengan media serta disudahi dengan majlis barbeku tidak lama lagi.

Malang sekali apabila Azzuddin terperangkap dalam isu-isu membabitkan hutang-piutang FAM.

Beliau cuba membersihkan FAM namun daki-daki yang melekat sukar dibuang, dan barangkali cara beliau ‘membasuh’ kotoran itu juga tidak kena.

Jika ‘ikut buku’ itu dilihat satu kekuatan, ia juga boleh dianggap kelemahan.

Dalam mengurus tadbir bola sepak, satu sukan yang dekat dengan masyarakat, kadang kala budi bicara harus diamalkan. Beberapa kelonggaran juga harus dikenakan, terutama dalam menjaga hubungan sesama pemegang saham dan pihak yang berkepentingan.

Hoki pula memerlukan campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang menubuhkan jawatankuasa kerja diketuai Datuk Wira Mazlan Ahmad untuk memastikan pasukan kebangsaan layak ke temasya Olimpik di London pada 2012.

Dengan semangat dan moral pemain yang runtuh akibat dihimpit pelbagai tuduhan juga, tidak hairanlah jika Mazlan mencadangkan khidmat jurulatih luar sebagai penyelesaian jangka pendek.

Kemaraan pasukan negara ke temasya Olimpik di Barcelona pada 1992 dicarta oleh Terry Walsh dari Australia warga Jerman, Volker Knapp dan Paul Lissek masing-masing memimpin pasukan ke Sukan Olimpik di Atlanta 1996 dan pingat perak Sukan Komanwel 1998.

KOAM pula bergelut dengan tuduhan seorang pegawai mencabul pegawai seranta di Taiwan selain pertikaman lidah antara timbalan presidennya, Karim Ibrahim dengan pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi IAAF, Musa Noor Mohamad.

Mujurlah pegawai yang dituduh itu digantung daripada menjalankan tugas ke luar negara untuk satu tempoh yang belum ditetapkan.

Kita harus akur tidak ada kesempurnaan dalam hidup.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Namun dalam mengendalikan tiga sukan besar ini, seseorang yang mengutamakan kesempurnaan amat diperlukan.

Usahlah sampai satu hari nanti rakyat terpanggil untuk membuat demonstrasi agar tiga persatuan ini ditutup saja.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...