Tuesday, May 26, 2009

131 pelajar MRSM masih dikuarantin


ahli keluarga pelajar berada di pondok menunggu MRSM Kuantan bagi mengetahui keadaan pelajar yang dijangkiti wabak influenza semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 68 pelajar yang diletakkan di bawah pengawasan kerana mendapat jangkitan saluran pernafasan influenza A telah dikeluarkan dari bilik isolasi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan semalam.

Ini menjadikan bilangan pelajar yang masih diawasi dalam bilik itu ialah 131 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, tiada kes baru penyakit itu dilaporkan setakat ini.

"Satu pasukan perubatan melawat maktab tersebut sebanyak dua kali sehari bagi memberi rawatan dan memantau kejadian penyakit. Tiada kes dimasukkan ke hospital," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Ismail juga mengesahkan bahawa ujian makmal mendapati punca penyakit disebabkan oleh jangkitan virus influenza bermusim H3 dan tiada kaitan dengan influenza A (H1N1).

Di Kedah pula, seramai 12 daripada 18 pelajar Sekolah Modal Khas di Bukit Jenun, Pendang telah keluar hospital menjadikan jumlah pelajar yang masih berada di wad Hospital Sultanah Bahiyah kepada enam orang.

"Sejumlah tiga pelajar lagi akan didiscaj pagi ini dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil. Tiada kes baru dikesan di kalangan pelajar sekolah itu,'' katanya.

Sementara itu, Mohd. Ismail berkata, Malaysia masih kekal dengan dua kes yang disahkan positif influenza A (H1N1) pada 15 dan 16 Mei lalu dengan 241 kes lagi telah disahkan bebas daripada jangkitan wabak itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...