sab@hmetro.com.my
TUMPAT: Seorang peniaga warga emas cedera di leher, tangan dan lutut selepas diseret kira-kira lima meter oleh seorang lelaki yang meragut rantai emasnya di Kampung Tujoh di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Saadiah Musa, 63, yang juga seorang peniaga, diumpan lelaki berkenaan yang berpura-pura mahu membeli gula pasir dan bawang merah di kedainya sebelum menghampiri mangsa.
Menceritakan kejadian itu, Saadiah berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu memesan beberapa barangan sebelum mencekik dan cuba meragut rantai emas.
“Tetapi saya sempat menarik tangannya sekuat hati. Akibatnya, rantai yang saya pakai terputus menyebabkan dia berang lalu menolak saya hingga tersungkur,” katanya.
Dia kemudian menjerit meminta tolong suaminya, Mat Jusoh Isa, 71, dan anak, Halimah Mat Jusoh, 46, yang berada di tempat kejadian.
Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri menaiki kereta Proton Wira berwarna merah hati.
Menurutnya, dia tidak menyangka kelibat sebuah Proton Wira yang dilihat berulang-alik dari jalan utama ke Klinik Desa berhampiran rumahnya mempunyai niat tidak elok terhadapnya.
Berikutan itu, ibu kepada empat anak itu cedera pada mata, hidung serta mulut akibat tersembam dan terseret hampir lima meter.
“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu kerana terpaksa bergelut dengan peragut selain bertindak nekad mencekik dan menolak saya ke lantai,” katanya.
Suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Tumpat kira-kira jam 4 petang, sebelum menghantarnya ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.
“Sampai sekarang saya boleh cam lelaki itu yang memakai topi hitam, baju merah, berseluar jeans, berkasut putih dan memakai cermin mata hitam menggunakan nombor pendaftaran 9177,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Osman Nayan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ragut yang menimpa warga emas terbabit.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065837/Article/index_html
No comments:
Post a Comment