Tuesday, May 26, 2009

Pengusaha mahu 100%

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin 
harzrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) berharap kadar kenaikan tambang baru bagi pengangkutan awam yang akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat ini mencecah 60 hingga 100 peratus kenaikan.

Presidennya, Datuk Ashfar Ali, berkata kenaikan sehingga 100 peratus itu amat diperlukan bagi terus menampung kos operasi syarikat pengusaha bas.

“Ini kerana kebanyakan pengusaha bas tidak menerima subsidi daripada kerajaan seperti dinikmati RapidKL dan RapidPenang.

“Difahamkan, subsidi yang diterima mereka (Rapid) berdasarkan jarak perjalanan melalui setiap kilometer (km),”
katanya. 

Katanya, sebelum ini kerajaan pernah menaikkan tambang bas iaitu pada tahun 2005 sebanyak 30 peratus

“Namun, jumlahnya terlalu kecil jika dibandingkan jumlah kerugian terpaksa kami tanggung selama beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bukan itu saja, perkara itu mengakibatkan banyak syarikat pengusaha bas terpaksa gulung tikar,”
katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kadar tambang baru pengangkutan awam yang kali terakhir disemak pada 2005 dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan pada awal bulan depan. 

Katanya, kenaikan tambang baru itu akan membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas pengantara dan bas sekolah selain teksi serta kereta sewa.

PMBOA juga berharap subsidi diesel dikaji semula atau dikurangkan kepada RM1 untuk satu liter daripada RM1.30 kini. 

“Kami tidak mendesak kerajaan, cuma mahu ia dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya bagi melahirkan suasana menang menang kepada kedua-dua belah pihak termasuk pengguna.

“Apa yang kami syorkan kepada kerajaan itu juga sama seperti dipraktikkan negara jiran kita Singapura,” katanya dalam masa sama turut berterima kasih kepada menteri berkenaan kerana memperjuangkan nasib mereka.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Chee Ah Tey pula berpendapat kenaikan tambang bas amat diperlukan bagi mengelak banyak lagi syarikat pengusaha bas sekolah gulung tikar.

“Kegawatan ekonomi begitu dirasakan dan kami memang memerlukan bantuan kerajaan untuk terus beroperasi.

“Tambang bas perlu dikaji semula dan kenaikan harga amat diperlukan segera kerana subsidi yang diberikan kerajaan tidak cukup untuk menampung kos operasi kami,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065110/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...