KUALA LUMPUR: Produk Air Ikan Haruan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang boleh mengancam nyawa pengguna akan terus dirampas tanpa banyak soal daripada peniaga ubat-ubatan tradisional sekiranya ia didapati masih dijual kepada orang ramai.
Produk Air Ikan Haruan yang tidak mempunyai sebarang khasiat selain boleh menyebabkan kerosakan pada sistem tubuh dianggap sebagai bahaya dan penjualannya jelas satu kesalahan di bawah peruntukan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Produk Air Ikan Haruan buatan Malaysia itu menjadi isu di negara jiran Singapura kelmarin, selepas pihak berkuasa kesihatan Singapura memberi amaran rakyat republik itu supaya tidak mengambil ubat tradisional dengan label Air Ikan Haruan kerana ia mengandungi bahan perubatan berbahaya yang tidak diisytiharkan.
Dalam satu kenyataan, pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura mendakwa ujian makmal mengesan kimia dexamethasone, sejenis ubatan berbahaya dicampur dalam ubatan berkenaan.
Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM, berkata walaupun operasi demi operasi merampas produk Air Ikan Haruan itu dilakukan dari semasa ke semasa, bekalan produk berkenaan tidak pernah putus.
Menurutnya, berdasarkan alamat tertera pada botol, air itu didakwa dihasilkan di sebuah kilang di Tanjung Piandang Perak, namun siasatan mendapati ia alamat palsu.
“Pihak penguat kuasa farmasi percaya, pengeluar produk itu sering berpindah-randah bagi mengelak kilang haramnya dikesan. Apa yang pasti produk Air Ikan Haruan tidak pernah didaftar dengan KKM dan memiliki nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag KKM.
“Oleh itu, produk ini sepatutnya tidak boleh dipasarkan apatah lagi dieksport ke luar negara berikutan ia tidak mematuhi syarat ditetapkan KKM,” katanya.
Menurutnya, selain produk berkenaan, siasatan KKM sebelum ini mendapati kebanyakan jamu diseludup dari negara jiran turut mengandungi racun seperti kodein, steroid, sindenafil nitrat, plumbum, merkuri serta pelbagai kimia berbahaya.
Antara jenama jamu pernah dirampas dan dikenal pasti adalah Pil Tupai Jantan, Jaya Asli Anrat, Flu Tulang dan Cicungya, Busterin, Super Tetra, Kapsul Super Tenaga, Jamu Pendang, Maajun Kuat, Maajun Putra Acheh Cap Keris, Jamu Monalisa, Ubat Kuat Madu Pasak Bumi, Pil Pria Perkasa dan Pil Asrirapat
Menurutnya, walaupun ada yang percaya produk itu baik untuk memulihkan pendarahan dalaman atau menyembuhkan luka akibat pembedahan namun ia bukan dihasilkan dari ikan haruan sebaliknya campuran kimia yang tidak diketahui.
“Oleh itu saya menasihati orang ramai berhati-hati dan tidak menggunakan produk ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan produk tidak berdaftar diminta menghubungi pejabat Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM di talian 03-7968 2200,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526064949/Article/index_html
No comments:
Post a Comment