Tuesday, May 26, 2009

Lari dari Kuantan akibat diburu along



MELAKA: Kehidupan sepasang suami isteri yang mempunyai tiga anak masih kecil kini dibelenggu ketakutan serta kebimbangan akibat diburu along selepas gagal membayar semula pinjaman berjumlah RM10,000 ketika menetap di Kuantan, Pahang, sebelum ini.

Susulan beban hutang tidak mampu dijelaskan itu, pasangan berkenaan terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di negeri ini bagi mengelakkan daripada dikesan peminjam wang terbabit.

Lebih malang apabila pasangan terbabit terpaksa membawa bersama tiga anak mereka berusia tujuh, tiga dan 11 bulan hingga mengakibatkan dua anak sulung pasangan itu tidak dapat bersekolah kerana bimbang diapa-apakan.

Suami berkenaan berusia 35 tahun yang enggan dikenali, berkata sebelum ini dia membuat pinjaman wang daripada tujuh along berlainan berjumlah RM10,000 kerana mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, dia bagaimanapun gagal menjelaskan bayaran ansuran menyebabkannya diugut hingga mengakibatkan motosikalnya diambil along terbabit, dan pernah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Disebabkan terlalu takut, kami juga terpaksa meninggalkan semua barang yang ada dalam rumah ketika di Kuantan dulu semata-mata membuat keputusan nekad melarikan diri dari sana ke negeri ini bagi mengelak terus menjadi buruan.

“Apa yang penting, saya perlu mengutamakan keselamatan keluarga termasuk isteri dan tiga anak kerana bimbang dengan sikap agresif along terbabit kerana mereka mungkin boleh bertindak di luar dugaan,” katanya.

Lelaki berkenaan berkata demikian apabila mengemukakan masalahnya kepada Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Kebajikan) M S Mahadevan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Khamis lalu.

Sementara itu, Mahadevan berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri supaya tindakan susulan dapat dilakukan.

Menurutnya, selepas mendengar secara terperinci masalah dikemukakan pasangan terbabit, mereka menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada along apabila keadaan terdesak.

Berikutan itu, katanya, pihaknya juga akan berbincang dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi menilai bentuk bantuan sewajarnya yang boleh disalurkan kepada mereka.

“Perkara utama yang harus dilakukan ialah memastikan anak sulung mereka kembali bersekolah dan kita akan cuba merujuk perkara berkenaan kepada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) bagi mendapatkan bantuan persekolahan.

“Kita juga akan berusaha untuk membina sebuah rumah menerusi Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga terbabit kerana isterinya adalah anak jati negeri ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065528/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...