Tuesday, May 26, 2009

‘Lapah’ 10 minit selepas curi

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

semula dan badan kereta yang sudah dilapah." title="LERAI...Noor Azam menunjukkan kenderaan yang ditemui
semula dan badan kereta yang sudah dilapah." height="186" width="300" border="0">
LERAI...Noor Azam menunjukkan kenderaan yang ditemui 
semula dan badan kereta yang sudah dilapah.

SHAH ALAM: Sukar dipercayai apabila sindiket curi kenderaan yang bergiat aktif di negeri ini sejak Januari lalu mampu melarikan kenderaan dalam tempoh 10 hingga 15 minit sebelum kenderaan itu ‘dilapah’ untuk mendapatkan komponen atau dijual kepada individu berminat.

Malah, kepakaran luar biasa yang dimiliki mereka menyebabkan ahli sindiket ini mampu hidup senang dengan kerja jahat yang mereka lakukan.

Taktik sindiket yang didalangi lima lelaki tempatan itu ialah mengumpil pintu atau but kenderaan dan membuat kunci pendua menggunakan alat kikir khas sebelum kenderaan itu dilarikan.

Bagaimanapun, kerja jahat sindiket terbabit tidak lama apabila kegiatan itu dihidu pihak berkuasa hasil maklumat orang ramai.

Dalam serbuan jam 4 petang, Khamis lalu, polis menahan dua lelaki berusia 30-an di Seksyen 17 di sini dan hasil soal siasat ke atas suspek terbabit membawa kepada penemuan sembilan kenderaan yang dilaporkan hilang di daerah Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata susulan tangkapan pertama, pihaknya menyerbu sebuah bengkel di Seksyen 19 keesokannya sebelum menahan beberapa lagi suspek dan polis kini sedang mengumpul maklumat bagi mengesan saki-baki kumpulan terbabit.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mendakwa melakukan 13 kes curi kenderaan, bagaimanapun tiga daripada gagal dikesan dipercayai sudah dilupuskan atau dijual.

“Sembilan kereta yang ditemui itu, lima daripadanya dilaporkan hilang di daerah ini dan masing-masing dua di Klang dan Petaling Jaya.

“Nilai rampasan termasuk beberapa peralatan yang dileraikan dianggarkan bernilai RM200,000,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Semua suspek yang ditahan itu bekerja sebagai pengusaha bengkel, penarik kereta dan along dan mereka direman empat hari dan berakhir hari ini.

Dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri, cukai jalan palsu dan komponen kenderaan yang sudah dileraikan.

Noor Azam berkata, kejayaan itu hasil maklumat orang ramai sebelum pihaknya melakukan intipan dan menyerbu kawasan terbabit.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...