SEOUL - Korea Utara semalam melakukan ujian peluru berpandu nuklear sekali gus mencemaskan negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kemudian mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan tindakan susulan berhubung ancaman berkenaan.
Ujian nuklear yang disifatkan Pyongyang sebagai berjaya itu merupakan letupan peluru berpandu yang jauh lebih kuat berbanding ujian pertama pada 2006.
Negara komunis berkenaan mengotakan ancaman untuk melakukan ujian nuklear kedua selepas ia melancarkan roketnya pada April lepas.
"Korea Utara berjaya melakukan satu lagi ujian nuklear bawah tanah pada 25 Mei sebagai langkah meningkatkan kemampuan pertahanan negara," kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Media berkenaan tidak mendedahkan lokasi ujian tersebut tetapi beberapa pegawai Korea Selatan menyatakan satu gegaran dikesan di bandar Kilju, timur laut Korea Utara.
Sementara itu, sekutu kuat Korea Utara, China menyatakan ia sama sekali menentang ujian tersebut.
Nada serupa turut disuarakan Kementerian Luar Rusia yang menyifatkan ujian itu mengancam kestabilan serantau.
- AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
No comments:
Post a Comment