Tuesday, May 26, 2009

Bas akhir ke 'neraka'

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Rutin biasa seorang gadis menaiki bas awam untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja berakhir tragedi hitam yang sukar dilupakan sepanjang hayatnya. 

Pada 18 Mei lalu, dia yang berusia 20-an menjadi mangsa kerakusan pemandu bas dan konduktor di Ampang yang memaksanya melakukan hubungan seks dan merakamkan aksi berahi berkenaan.

Pemandu bas terbabit menjadi ‘pengarah’ dan ‘pelakon’ kepada adegan filem lucah itu manakala konduktornya sebagai jurukamera menggunakan telefon bimbit.

Mangsa bagaimanapun tidak dirogol apabila ‘pelakon’ utama itu mendapati dia uzur atau datang bulan.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, wartawan Harian Metro berjaya menemubual mangsa yang kini tinggal sementara dengan kakaknya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang bekerja menggunakan bas seperti biasa.

“Sudah puluhan kali menaiki bas itu setiap kali pulang bekerja. Namun, inilah sejarah hitam yang tak mungkin saya lupakan.

“Mana tidaknya, saya dijadikan alat pemuas nafsu mereka selain diperlakukan seperti binatang oleh kedua-dua lelaki durjana itu,” katanya yang menjadi penumpang terakhir sebaik tiba di hentian bas itu.

Mangsa pada permulaannya keberatan menceritakan kisah hitam itu, bagaimanapun terpanggil untuk menasihatkan golongan hawa supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa rogol lelaki ‘gila seks’.

Setibanya di hentian bas itu kira-kira jam 10 malam, dia dihampiri pemandu bas terbabit yang enggan membuka pintu sebelum menawarkan pelbagai tawaran mengarut. 

“Dia dan konduktor menawarkan saya menjadi heroin filem lucah yang dirancang sebelum mengarahkan saya menanggalkan pakaian. Mulanya saya menolak, namun kedua-duanya bertindak agresif.

“Pemandu bas itu mahu mencederakan saya jika kemahuannya ditolak. Saya yang bimbang dicederakan terpaksa menanggalkan semua pakaian,”
katanya.

Mangsa seterusnya dicabul pemandu bas itu sebelum mendapati dia uzur.

Pemandu bas itu menyatakan mangsa bernasib baik kerana ‘keuzuran’ itu menghilangkan seleranya. Namun, dia terus mencabul gadis itu hampir 30 minit.

Konduktor itu pula merakam gambar dan video sambil mengarahkan mangsa melakukan gaya yang lebih menggiurkan.

Mangsa berkata, selepas hampir 45 minit tubuhnya menjadi tatapan dan rakaman mereka, dia dibenarkan pulang sebelum seorang daripada suspek mengugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

“Dia mengugut akan menyebarkan aksi panas saya itu dalam Internet jika saya membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan baiknya, tetapi mereka merahsiakan kejadian itu kerana bimbang gambar itu tersebar.

Belumpun sampai seminggu, gambar bogel mangsa tersebar menerusi MMS, termasuk diterima rakannya itu.

Rakannya yang bersimpati kepada nasib malang menimpa gadis terbabit mendedahkan kejadian berkenaan kepada kakak mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Difahamkan kedua-dua suspek ditahan pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090526062257/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...