Tuesday, May 26, 2009

Tak telus urus harta RM5j milik 400 penama



JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mendakwa dia dan 50 ahli keluarga lain menjadi mangsa putar belit pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta pusaka bernilai lebih RM5 juta milik nenek moyangnya sejak 17 tahun lalu.

Zainal Ibrahim, 50, yang juga pesara polis, berkata kejadian bermula sejak 1992 apabila pemegang amanah itu menjual tanah pusaka di Lot 883, Johor Bahru yang diwariskan kepada 400 penama dengan harga RM5.8 juta.

“Berdasarkan laporan penjualan yang diperoleh, pemegang amanah terbabit turut mencatatkan pembelian dua lot tanah di Kempas yang bernilai kira-kira RM35,000 sebagai syarat penjualan.

“Selepas dijual pada harga RM5.8 juta, pemegang amanah melakukan pembahagian kepada 400 penama dengan agihan RM6,000 seorang,” katanya.

Menurut Zainal, dia dan keluarganya mula curiga dengan tindak-tanduk pemegang amanah berikutan tidak membekalkan sebarang dokumen pengesahan penjualan harta berkenaan selain tidak telus dalam pembahagian hasil.

“Apabila pengagihan dibuat, kami mendapat tahu ada waris yang tercicir daripada senarai, malah maklumat sebenar mengenai harga jualan dan laporan terperinci berhubung urus niaga tidak diserahkan sebagaimana sepatutnya.

“Atas sebab itu, kami sekeluarga mengambil keputusan ke Balai Polis Central, Johor Bahru untuk membuat laporan yang bertarikh 2 Disember 1992,” katanya.



Zainal berkata masalah itu berlalu tanpa tindakan pihak berkuasa dan keluarganya semakin keliru apabila mendapat tahu lot tanah di Kempas turut dijual kepada syarikat pemaju antara 2002 hingga 2003.

“Saya difahamkan yang Lot 1835 dan 1836 di Kempas itu dijual dengan harga kira-kira RM2 juta sebelum hasilnya dibahagikan kepada beberapa waris yang tahu mengenai penjualan tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, pemegang amanah berkenaan bijak meneruskan agenda dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa sebelum menegaskan tanah di Kempas tidak dijual kepada sesiapa.

“Ini jelas menunjukkan pemegang amanah tidak lagi boleh dipercayai dan seharusnya disiasat pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengetahui ke mana perginya wang milik pewaris harta berkenaan,” katanya.

Atas dasar tidak berpuas hati, Zainal dan kakaknya, Zainon, 52, membuat semakan di beberapa agensi berkaitan termasuk syarikat yang berurusan dengan pemegang amanah.

“Namun kami sekeluarga hairan apabila pemegang amanah tiba-tiba berbuat baik dengan menyerahkan cek bernilai RM8,000 hanya untuk ibu saya pada 18 Disember 2003.

“Persoalan berhubung wang RM8,000 itu terungkai apabila kami mendapat maklumat yang mendakwa lot tanah asal bukan dijual dengan harga RM5.8 juta sebagaimana direkodkan sebaliknya ia bernilai RM9 juta,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065318/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...