AMPANG: Hanya kerana isterinya enggan mengikutnya bekerja di Melaka, seorang lelaki naik angin dengan memukul selain mengugut mahu mengelar leher wanita berkenaan ketika pasangan itu bertengkar di rumah mereka di Pandan Jaya, kelmarin.
Malah, suami mangsa yang tidak berpuas hati selepas bapa mentuanya campur tangan turut memukul lelaki berkenaan hingga cedera.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku jam 9 pagi ketika lelaki berusia 30 tahun itu pulang ke rumah sebelum berlaku pertengkaran antara dia dan isterinya.
“Suami mangsa bekerja sebagai jurukimpal di Melaka dan pada hari itu mengajak mangsa mengikutnya mencari pekerjaan dan tinggal bersama.
“Bagaimanapun, mangsa enggan dan ini membuatkan lelaki terbabit berang sebelum bertindak memukul kepala dan menumbuk muka mangsa,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit seperti hilang akal kemudian menarik rambut isterinya sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu mengelar leher wanita berkenaan.
“Ketika itu, bapa mangsa yang melihat kejadian berkenaan cuba menghalang tindakan menantunya sebelum dia turut dibelasah.
“Lelaki terbabit terus mengamuk dan memecahkan pelbagai barang yang ada dalam rumah kerana tidak berpuas hati dengan isteri dan keluarga mentuanya,” katanya.
Menurutnya, melihat mangsa sudah hilang kawalan, mereka menghubungi polis sebelum lelaki itu ditahan.
Pasangan terbabit sudah mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Sejak berkahwin, mangsa mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Malah, sudah banyak laporan polis dibuat mangsa dan kali ini lelaki terbabit dapat diberkas.
Difahamkan, suami mangsa juga cemburu dan mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dan disebabkan itu dia mengajak wanita itu ke Melaka.
Keengganannya membuatkan dia lebih menaruh syak wasangka sebelum mengamuk.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan lelaki terbabit.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amukancemburu/Article/index_html
No comments:
Post a Comment