KUALA LUMPUR: “Tolong jangan mempolitikkan isu air. Ini adalah projek membabitkan kepentingan seluruh penduduk Lembah Klang termasuk Putrajaya,” kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berhubung projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.
Beliau berkata, memang terbukti sudah ada kajian menunjukkan Lembah Klang akan menghadapi krisis bekalan air menjelang 2014 dan kerajaan tak boleh tunggu hingga tarikh itu untuk bertindak.
Malah, katanya, kapasiti bekalan air sedia ada yang efektif adalah 4,326 juta liter sehari dan dengan purata unjuran kira-kira 4,625 juta liter sehari selepas mengambil kira kepesatan pembangunan di Selangor dan berdasarkan itu, pada 2012 Selangor dijangka mengalami kekurangan bekalan air, kira-kira 299 juta liter sehari.
“Kerajaan Pusat amat berharap kerajaan Selangor dapat memberi kerjasama dalam meluluskan segala permohonan permit, pengambilan tanah dan kebenaran merancang.
“Ini khususnya untuk projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga kesinambungan kepada projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.
“Diharapkan sangat tidak mengaitkan isu penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor dengan projek gergasi yang menelan belanja keseluruhan bernilai RM3.94 bilion ini. Kepentingan rakyat jangka panjang perlu diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Tunnel Boring Machine (TBM3) di Tapak Projek Adit 4, Batu 14, Jalan Hulu Langat, di sini, semalam.
Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan Pengarah Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, Datuk Ismail Mat Noor.
Dalam majlis semalam, turut diadakan pengumuman nama mesin diguna dalam projek berkenaan iaitu Tiara Midori bagi (TBM3), Selpah (TBM2) dan Kamila (TBM1).
Projek penyaluran air mentah dari Sungai Kelau-Sungai Semantan dari Karak, Pahang ke Hulu Langat menggunakan sistem pengepaman dan penyaluran air melalui paip berkembar menggunakan terowong dari Karak ke Hulu Langat bergaris pusat 5.2 meter sepanjang 44.6 kilometer.
Projek yang dimulakan pada 1 Jun lalu dan dijangka siap 30 Mei 2014 (tempoh 60 bulan) itu adalah terowong penyaluran air mentah terpanjang di Asia Tenggara dan keenam di dunia.
Ia bakal menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari apabila siap kelak.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Selangordirayuakur/Article/index_html
No comments:
Post a Comment