KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima remaja yang menggelar diri geng ‘Big Bear’ ditahan sebelum sempat menyamun sebuah kafe Internet di Sentul, di sini, awal pagi kelmarin.
Semua remaja yang berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditahan kira-kira 6.15 pagi di hadapan kafe berkenaan.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata suspek terbabit dipercayai sering menyasarkan kedai serbaneka 24 jam dan kafe Internet di Sentul dan kawasan berhampiran.
Menurutnya, semua suspek aktif menjalankan kegiatan samun itu kerana tidak bekerja dan tidak bersekolah.
“Suspek menggunakan modus operandi sama setiap kali menyamun iaitu menyerbu masuk ke dalam premis beramai-ramai dan mengacukan senjata bertujuan menakutkan mangsa.
“Tindakan kumpulan terbabit dianggap berani kerana tidak memakai penutup muka ketika menyamun premis sasaran mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Difahamkan, seorang suspek dipercayai ketua kumpulan itu dikenali sebagai Big Bear kerana mempunyai berbadan besar.
Menurutnya, setakat ini, siasatan awal polis mendapati suspek terbabit dalam tujuh kes samun dan polis percaya banyak lagi kes samun membabitkan suspek.
“Dengan penahanan kelima-lima suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes sama membabitkan samun premis 24 jam di Gombak dan Wangsa Maju,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengBigBeartumpas/Article/index_html
No comments:
Post a Comment