Thursday, November 11, 2010

KPT jalankan siasatan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini sedang menjalankan siasatan daripada segi pembelajaran di Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) sama ada ia melanggar syarat ditetapkan atau sebaliknya selepas University of Wales, United Kingdom (UK) menggantung sementara kerjasama yang terjalin antara dua pihak berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu penggantungan itu dan menyerahkan universiti berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut berkenaan isu itu.


Menurutnya, pada dasarnya sesiapa saja di Malaysia boleh menubuhkan atau membuka kolej asalkan pengajian akademik dan syarat lain yang ditetapkan dipatuhi sesebuah kolej seperti tenaga pengajar harus memiliki kelayakan manakala pemilik atau pengarah kolej tidak diwajibkan mempunyai kelayakan.

“Sekiranya universiti itu mewujudkan kerjasama dengan sebuah kolej berasaskan kepada pengurus atau pemiliknya, ia adalah soal dia dan menjadi haknya jika universiti itu menetapkan pemilik kolej yang bekerjasama dengan mereka perlu memiliki kelayakan akademik.


“Apa yang berlaku ketika ini adalah antara universiti itu dan FIC. Pada masa sama, kementerian sedang menyiasat sama ada FIC mematuhi pembelajaran dan syarat yang diberikan untuk menubuhkan sesebuah kolej atau sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pembelajaran Sepanjang Hayat Antarabangsa 2010 di Hotel Seri Pacific di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai University of Wales, UK menggantung hubungannya dengan FIC milik penyanyi Malaysia, Fazley Yaakob sehingga siasatan dilakukan.

Akhbar itu melaporkan berikutan satu laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang menyatakan tindakan itu dilakukan berikutan kontroversi berkaitan dengan kelayakan akademik penyanyi terbabit yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.


BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki Ph.D palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dari University of Wales.

Dalam perkembangan sama, satu artikel laman web BBC semalam menyatakan Fazley meletakkan jawatannya sebagai pengarah bagi menjaga nama baik kolej itu yang digantung hubungannya buat sementara waktu. Sebagai contoh, jika sesebuah kolej menjalankan sesuatu program, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan melihat sama ada ia mempunyai tenaga pengajar yang cukup dan layak untuk mengajar dalam bidang itu.


“Bagaimanapun, saya enggan mengulas lanjut isu penggantungan ini. Apa yang boleh saya katakan, kita hanya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya ia menjalankan pengajian sedangkan tiada orang yang layak untuk mengajar dan menjalankan pengajian tanpa mematuhi syarat ditetapkan kementerian,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPTjalankansiasatan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...