POKOK SENA: Sebuah keluarga di Kampung Bukit, Mukim Derang, di sini, terpaksa tidur beralaskan plastik dan berdindingkan papan lapis apabila dinding rumah mereka runtuh dirempuh arus banjir minggu lalu.
Pemilik rumah, Md Noor Rejab, 46, berkata arus deras dari Sungai Pelubang yang terletak kira-kira 50 meter bukan saja menghentam rumahnya, tetapi dua lagi rumah menyebabkan ia turut mengalami kerosakan serius.
“Saya mula menyedari dinding bata rumah saya runtuh apabila melalui kawasan itu, Jumaat lalu ketika air masih lagi pada paras lebih dari satu meter.
“Sebahagian besar dinding yang dilengkapi pintu dan tingkap itu runtuh menyebabkan rumah saya berlubang. Namun waktu itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana air banjir masih dalam,” katanya.
Berikutan itu, apabila banjir mulai surut sejak beberapa hari lalu, Md Noor bersama isteri, Zubaidah Nor, 38, serta anak mereka, Nor Naizatul Anis, 19, Nor Ifazatul Idayu, 17, Nor Amalini Amylia, 15, Mohd Yusri, 11, dan Mohd Shukri, 9, terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan hanya meletakkan papan lapis bagi menggantikan dinding yang runtuh itu. “Kami juga hilang pendapatan apabila kedai runcit yang diusahakan isteri secara kecil-kecilan di rumah turut musnah dan terpaksa bergantung kepada pendapatan saya yang tidak menentu sebagai pemandu lori. Saya runsing kerana tiada wang untuk membina dan membaiki semula rumah kami,” katanya. Md Noor berkata, dia sekeluarga berharap ada pihak yang sudi membantu membaik pulih rumah mereka.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiduralasplastik/Article/index_html
No comments:
Post a Comment