KETIKA ini 1.8 bilion penduduk di rantau Asia Pasifik terdedah kepada ancaman wabak denggi yang sangat menakutkan dan ia adalah virus berjangkit yang menular paling cepat dengan 2.5 bilion penduduk dunia juga turut terdedah kepada ancaman ini.
Pada masa sama, sebanyak 70 peratus daripada 1.8 bilion penduduk Asia Pasifik dengan kebanyakannya di negara membangun bakal berhadapan dengan wabak yang boleh meragut nyawa jika langkah pencegahan tidak dilakukan segera.
Di negara kita pula, 39,264 kes denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Kes kematian akibat demam denggi meningkat 63 peratus atau 45 kematian dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian 117. Secara umumnya, kes denggi banyak berlaku di kawasan bandar memandangkan terdapat tapak kediaman, premis perniagaan dan perumahan yang berpenduduk ramai.
Keadaan sangat kritikal ini memaksa Jawatankuasa Wabak Denggi Peringkat Daerah diwujudkan di hampir 33 kawasan seluruh negara bagi membasmi pembiakan nyamuk aedes di kawasan berkenaan di mana jawatankuasa itu adalah satu badan yang melibatkan semua agensi di peringkat daerah termasuk kesihatan, polis, majlis daerah, sekolah, penghulu dengan pegawai daerah selaku pengerusi perlu mengadakan mesyuarat setiap minggu untuk memantau keadaan dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, dalam usaha memastikan misi pencegahan serta penghapusan wabak ini mencapai objektifnya maka semua pihak perlu memainkan peranan berusaha mengenal pasti kaedah membasmi penularan wabak denggi seluruh negara.
Langkah yang paling penting sekali meningkatkan kesedaran masyarakat membasmi wabak itu yang sehingga kini dilihat masih lagi rendah serta ramai bersikap sambil lewa saja. Semua lapisan masyarakat bertanggungjawab terhadap persekitaran kebersihan kawasan kediaman, premis perniagaan dan pekerjaan bagi memastikan wabak ini dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi.
Program gotong-royong perlu lebih kerap diadakan di kawasan berisiko tinggi denggi bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes dan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran semua golongan mewujudkan persekitaran yang bebas daripada pembiakan nyamuk.
Selain itu pelbagai program perlu diadakan termasuklah pameran, taklimat serta ceramah dan menggalakkan penyertaan masyarakat yang peka dengan tempat pembiakan nyamuk terutama di persekitaran rumah masing-masing. Orang ramai juga misalnya boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya sepuluh minit sehari bagi memeriksa kawasan kediaman dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk seperti memeriksa saluran longkang, menanam tin atau botol kosong, mengganti air di alas pasu bunga dan sebagainya bagi mencegah pembiakan nyamuk.
Manakala cadangan membasmi demam denggi menerusi program pelepasan nyamuk aedes yang diubahsuai secara genetik seperti yang diwar-warkan baru-baru ini juga wajar diberi perhatian serius dan jika eksperimen ini berjaya maka Malaysia mampu mengubah landskap perkembangan bidang perubatan dan kesihatan arus perdana yang kini masih di peringkat kajian. Nyamuk genetik yang sedang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengawal wabak denggi dijangka dilepaskan untuk kajian selama sebulan di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka pada Disember ini. Pelepasan yang akan dibuat berperingkat itu melibatkan 4,000 hingga 6,000 ekor bersama-sama nyamuk aedes jantan liar. Penyelidikan nyamuk genetik yang dimulakan pada September tahun lalu itu melibatkan pelepasan nyamuk jantan GE yang membawa gen ‘pembunuh’ yang dibiarkan mengawan dengan nyamuk betina liar sehingga menyebabkan kematian progeni atau keturunan bagi kedua-dua jenis nyamuk itu. Penggunaan nyamuk tersebut bagaimanapun melahirkan kebimbangan sesetengah pihak bahawa ia akan mengganggu ekosistem sedia ada, bahaya dan berisiko tinggi.
Biarpun begitu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai uji kaji lapangan itu kerana ia tidak berbahaya kerana hanya nyamuk jantan yang akan dilepaskan dan ia tidak menghisap darah atau membawa virus denggi. Malahan nyamuk tersebut akan ditangkap semula menggunakan prosedur standard yang diguna pakai oleh Kementerian Kesihatan.
Biarpun begitu, dengan langkah pencegahan dan pembasmian yang mantap, angka wabak denggi yang tinggi ketika ini amat membimbangkan dan seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Di samping aktiviti yang dijalankan seperti gotong-royong, pameran, ceramah berkaitan denggi dan penyebaran risalah kempen, pembabitan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) juga sangat penting dalam usaha ini. Malah, kuasa yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan misalnya yang boleh mengenakan kompaun sehingga RM500 bagi setiap kes kesalahan pembiakan nyamuk aedes tanpa sebarang peringatan perlu diperluaskan lagi dan dilaksanakan secara tegas memandangkan masyarakat telah diberi peluang untuk membasmi wabak tersebut.
> Penulis seorang guru
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Denggiragut117nyawa/Article/index_html
No comments:
Post a Comment