Thursday, November 11, 2010

Kowaja derma RM50,000 untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin terhadap mangsa banjir di Kedah dan Perlis, Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) menyumbang RM50,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.

Setiausaha Kehormat Kowaja, Mohd Faizal Abdullah, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat membantu mangsa banjir sekali gus dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.


Menurutnya, memandangkan banjir yang melanda di dua negeri terbabit agak teruk berbanding sebelumnya menimbulkan rasa tanggungjawab Kowaja untuk menyalurkan sumbangan yang termampu kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya sudah menjadi tradisi Kowaja memberikan bantuan kepada orang ramai terutama apabila berlakunya bencana alam, malah kami turut memiliki tabung koperasi bagi sumbangan amal,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Ketua Komunikasi Korporat & Pengurusan Acara NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, di Balai Berita, di sini, semalam.


Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pengurus Hal Ehwal Urusetia Kowaja, Sikandar Shariff dan Mark Ambrose.


Mohd Faizal berkata, Kowaja mengharapkan melalui sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan kegembiraan kepada mangsa-mangsa banjir yang ternyata memerlukan belas ihsan daripada orang ramai.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima atau dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur. Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KowajadermaRM50_000untukmangsabanjir/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...