Thursday, November 11, 2010

Bah roboh rumah

Oleh Mohamad Hussin

JITRA: “Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana pakaian dan barangan lain tidak dapat diselamatkan selepas air naik mendadak hingga ke paras dada.

“Apa yang kakak sedih sangat apabila melihat rumah sewa runtuh dengan dinding terkopak dibawa arus deras. Selepas ini kakak tak tahu nak duduk mana,” kata Norsharidah Md Zin, 40, menceritakan pengalaman terbabit dalam banjir besar di Kampung Kubang Lembu, di sini, semalam.


Beliau berkata, pada malam kejadian 2 November lalu, kira-kira jam 11.30 malam, dia dan suaminya, Mohd Hussin Mohd Saad, 39, bersama dua anak mereka Mohd Asraf, 12, dan Mohd Daniel Aidil, 4, sedang tidur.

“Kakak rasa tak sedap hati kerana hujan lebat tanpa henti malam itu. “Namun, pada jam 11.45 malam, kakak terkejut apabila air mula memasuki rumah hingga ke paras lutut, tanpa berlengah kakak mengejutkan kedua-dua anak dan membawa mereka menumpang di rumah jiran yang terletak di depan rumah.


“Selepas itu kakak pulang semula ke rumah untuk mengambil barangan rumah dan pakaian. Tidak sampai 15 minit, air naik macam ombak sehingga ke paras dada membuatkan kakak panik dan meredah air untuk menyelamatkan diri bersama suami,” katanya, di sini, semalam.


Beliau berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah termasuk pakaian kerana air terlalu deras meranapkan sebahagian rumah sewanya itu.

“Kakak bersyukur kerana sempat menyelamatkan anak, kalau tidak kakak tidak tahu nasib yang menimpa mereka berdua.


“Semua barang musnah sekelip mata. Kami cuma tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan harta benda.

“Kakak sewa di sini sejak lima bulan lalu dengan bayaran sewa RM80 sebulan. Kami bukan orang senang, setakat cukup makan saja kerana pendapatan suami sebagai tukang kebun hanya RM480 sebulan tidak mampu untuk membeli baju dan barangan rumah lain,” katanya.


Norsharidah berkata, dia bersyukur kerana Penghulu Mukim Jitra, Roslan Jamaludin membenarkannya menetap sementara di Dewan Taman Indera, di sini, sehingga pihaknya memberi bantuan rumah.


“Saya juga berterima kasih kepada penduduk kampung yang bermurah hati mendermakan pakaian untuk kami, selain menghulurkan makanan,” katanya. Selain, Norsharidah, adiknya Hasmanita, 38, dan suaminya, Roslan Ariffin, 43, turut menumpang teduh di dewan berkenaan kerana rumah mereka juga turut musnah akibat banjir.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bahrobohrumah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...