Sunday, November 7, 2010

Banjir: Lebih 21,000 dipindah di Kota Setar

Harakahdaily

ALOR SETAR, 7 Nov: Biarpun banjir di beberapa kawasan di Kedah semakin pulih, namun jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kota Setar terus meningkat.

Sejumlah 21,058 mangsa dengan jumlah keluarga 5,050 telah dipindahkan, berbanding 19,591 orang petang semalam di daerah itu.

Pengarah Lojistik pasukan Unit Amal PAS, Mohd Zad Abdullah ketika dihubungi berkata kesemua mangsa di daerah ini kini ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Alor Setar.

"Alhamdulillah sehingga kini kita terima banyak bantuan untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa di sini.

"Cuma satu sahaja masalah kita, usaha untuk memindahkan mangsa banjir agar sukar kerana lauan kita tersekat dengan air. Kita terpaksa guna alternatif lain, itu yang lambat sikit," katanya kepada Harakahdaily.

Sehingga kini lebih 120 anggota Unit Amal PAS dikerah membantu mangsa banjir di Kedah dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijadual melawat ke penempatan sementara di sini jam 2 petang ini

Sementara itu, Bernama melaporkan sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 32,066 orang daripada 7,938 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu terus berkurangan dengan jumlah terkini ialah 9,351 orang daripada 2,591 keluarga berada di pusat pemindahan manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena ialah 1,413 orang daripada 234 keluarga dan di Pendang seramai 244 orang melibatkan 63 keluarga.

Sebanyak 83 buah pusat pemindahan masih dibuka iaitu 45 buah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar pagi ini mendapati kebanyakkan jalan utama yang menghubungkan ke pusat bandar sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Air di kawasan sekitar bandar raya ini mulai surut sejak lewat malam tadi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29363:banjir-lebih-21000-dipindah-di-kota-setar&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...