Sunday, November 7, 2010

Banjir: Shahrizat jangan bermain politik

Harakahdaily

ALOR SETAR, 6 Nov: Tatkala lebih 40,000 mangsa banjir perlu meninggalkan tempat tinggal mereka akibat krisis banjir yang paling teruk dalam sejarah negeri Kedah, ada juga pemimpin daripada Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan untuk bermain politik.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kesal terhadap sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang cuba mempolitikkan krisis banjir di Kedah dengan menyalahkan kerajaan PAS Kedah lembap dalam membantu mangsa banjir.

“Saya kesal dengan kenyataan Datuk Shahrizat, yang blame (mempersalahkan) kerajaan negeri (Kedah) tidak membuat apa-apa dan kerajaan negeri lembap – itu satu kenyataan yang sangat melampau,” ujar Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata dalam keadaan semua agensi kerajaan negeri dan semua pihak tengah bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, kenyataan Shahrizat memperlihatkan kehadiran Ketua Wanita Umno itu bukan untuk membantu tapi untuk berpolitik.

Shahrizat, kelmarin dipetik menyalahkan kerajaan negeri Kedah tidak menyediakan pengangkutan untuk membantu untuk menghantar makanan kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

“Saya nak sebut bahawa beliau tak boleh blame (salahkan) kerajaan negeri, kerajaan negeri bukan memiliki kenderaan-kenderaan berat dan kenderaan yang sangat terhad yang nak digunakan untuk pengangkutan-pengangkutan yang lain.

“Jadi, sepatutnya beliau sebagai menteri boleh coordinate dengan jabatan kebajikan di bawahnya dengan tentera dan sebagainya untuk mendapat kenderaan-kenderaan berat, kenderaan pacu empat roda, trak dan sebagainya untuk mengharungi kawasan masuk air, dan juga mendapatkan bot-bot besar,” jawab Mahfuz terhadap kenyataan Shahrizat.

Mahfuz juga membandingkan sikap kesudian membantu Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan Shahrizat apabila beliau memintanya untuk mendapatkan bantuan bot besar di kawasan parlimennya, Pokok Sena untuk mencapai kawasan penempatan banjir terputus.

“Kalau di kawasan saya, Datuk Seri Nazri datang, saya sebut masalah di sini ialah satu tempat kita tak dapat pergi kerana putus, kita tak boleh hantar bekalan makanan walaupun mereka ada penempatan banjir sebab arus air deras, dan bot-bot yang mereka hantar pula bot yang kecil, bomba sendiri pun tak berani pergi dengan bot yang kecil.

“Jadi, saya mintalah bot yang besar, bot tentera dan bot smart barulah beliau membantu mengarahkan perkhidmatan keselamatan negeri ini untuk menghantar bot smart,” katanya.

Situasi penempatan banjir

Mengenai situasi di pusat penempatan banjir, Mahfuz menyifatkan keadaannya sesak dan kurang selesa kerana terpaksa meletakkan hampir dua ke tiga ribu orang di sesebuah pusat penempatan banjir, dan ada pusat penempatan banjir yang terputus bekalan air dan juga elektrik.

“Cuma saya lihat koordinasi masalah penempatan ini – ini juga kelemahan jabatan kebajikan di bawah Shahrizat ini sebab satu-satu tempat pemindahan itu, kalau ia nak digazet ia perlu kebenaran daripada jabatan kebajikan.

“Jadi inilah masalahnya, kadang-kadang kreativiti dan inovasi jabatan kebajikan itu agak perlahan – dia hanya lihat tempat-tempat yang biasa – yang akhirnya kita terpaksa melambakkan 2,000 dan 3,000 orang di satu tempat,” ujarnya sambil menambah mangsa banjir semakin meningkat dengan air mula memasuki kawasan bandar Alor Setar dengan keadaan di kampung yang masih ditenggelami air.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29352:banjir-shahrizat-jangan-bermain-politik&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...