Sunday, November 7, 2010

Bukti mampu urus subsidi

Oleh MUHAMAAD RAZIS ISMAIL

LANGKAWI: Kerajaan akan menarik semula pembekuan lesen stesen minyak mini luar bandar jika pengusaha stesen minyak di kawasan itu berjaya membuktikan mereka mampu menguruskan bahan api subsidi tanpa penyelewengan melalui program penjenamaan semula yang dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini pihaknya menerima hampir 100 permohonan baru daripada syarikat bagi menguruskan stesen minyak luar bandar.


Bagaimanapun, katanya, permohonan itu dibekukan sementara bagi melihat prestasi pengusaha stesen minyak mini sedia ada, sama ada dapat meyakinkan kerajaan bahawa pengagihan bahan api subsidi kepada golongan sasaran di luar bandar dilakukan secara telus atau sebaliknya.

“Kabinet mesti diyakinkan bahawa tiada penyelewengan dengan sistem pengagihan minyak subsidi yang sistematik selain ciri keselamatan yang bagus ketika operasi perniagaan minyak dijalankan.


“Jika keadaan baik, mungkin Kabinet akan pertimbangkan untuk menarik semula arahan pembekuan itu,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini kerajaan memberi mandat kepada tiga firma yang bertanggungjawab di zon berasingan bagi menguruskan penjualan bahan api subsidi stesen minyak mini.

Ismail berkata demikian selepas melancarkan Stesen Minyak Luar Bandar Buraqoil, di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi IPTB Sdn Bhd, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Salleh Maamor.


Terdahulu, Ismail Sabri menyerahkan sijil penghargaan kepada kumpulan Perintis Program Penjenamaan dan Naiktaraf Stesen Luar Bandar serta menyerahkan sumbangan kepada anak yatim.

Sementara itu Pengerusi Konsortium Ikatan Pengedar Terus Bumiputra (IPTB) Sdn Bhd, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, penjenamaan semula stesen minyak luar bandar oleh Buraqoil berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha kecil sehingga lebih 100 peratus.


Penambahbaikan stesen minyak ini yang membabitkan kos antara RM150,000 sehingga RM350,000 itu meliputi bentuk, penampilan, ciri-ciri keselamatan selain dilengkapi kemudahan kedai serbaneka yang dikenali dengan nama Buraqmart untuk memudahkan pelanggan mendapatkan barangan.


“Peningkatan itu diperoleh hasil daripada keyakinan dan kepercayaan pengguna selepas stesen minyak lama dinaikkan taraf daripada segi reka bentuk, penampilan dan kemudahan lebih canggih.


“Imej baru stesen minyak memberi pulangan tinggi kepada pengusaha dengan keupayaan menjual purata 10 juta liter sebulan kerana berjaya menarik lebih ramai pelanggan yang pada mulanya bimbang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan sebelum ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buktimampuurussubsidi/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...