DR. Jariah Abdullah, 64, mengubat pesakitnya dengan cara yang agak pelik iaitu menggunakan sebatang tongkat kristal.
Tongkat sepanjang 40 sentimeter itu digunakan bekas pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini untuk mengenal pasti penyakit seseorang.
Pada pandangan mata kasar, tongkat itu sekadar mengandungi plastik, batu kristal dan kayu. Ia dibeli Jariah di Itali pada harga hampir RM2,000. Bentuknya seperti kayu rotan.
Namun, uniknya tali pada tongkat itu menjadi penentu tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang.
Jika tali itu cenderung ke kiri, ia bermakna pesakit sedang menghadapi masalah tekanan tetapi jika sebaliknya, mereka sihat.
Secara ringkas, kaedah rawatan yang amalkan Jariah ialah perubatan menggunakan kuasa minda dan tenaga dalaman.
“Memang kepakaran saya dalam bidang kimia tetapi saya turut mempelajari kaedah perubatan alternatif dikenali sebagai reiki.
“Reiki ialah satu teknik perubatan dari Jepun yang bertujuan mengurangkan tekanan dan merehatkan tubuh.
“Saya menganalisis tenaga yang terdapat dalam badan seseorang. Jika tenaga itu lemah, mereka akan mudah jatuh sakit dan tertekan, begitulah sebaliknya,” kata Jariah sambil menambah, rawatan reiki lebih berbentuk terapi.
Reiki ialah amalan kerohanian yang dimajukan oleh rakyat Jepun, Mikao Usui pada tahun 1922. Salah satu aspek amalan ini dinamakan tenohira atau penyembuhan tapak tangan.
Sentuh
Menerusi teknik ini, si pengamal percaya dirinya dapat mengalirkan tenaga penyembuhan.
Tenaga berkenaan mengalir melalui tangan pengamal sebaik sahaja beliau menyentuh pesakit.
Selain itu, rawatan reiki boleh dilakukan daripada jarak jauh menggunakan alatan sama seperti tongkat yang digunakan Jariah.
Rawatan ini melibatkan lambang khas untuk membentuk perhubungan sementara antara pengamal dan penerima, tidak kira di mana jua, lalu menyalurkan tenaga reiki begitu sahaja.
“Teknik terapi reiki sebenarnya rahsia penyembuhan alami yang inti patinya ialah kekuatan doa oleh pesakit dan pengamalnya.
“Secara luarannya, pengamal reiki seolah-olah hanya memberikan sentuhan melalui tangannya atau medium alat ke kawasan yang mahu dialirkan tenaga,” kata Jariah.
Menggabungkan perubatan melalui reiki, tongkat dan kristal - dakwa Jariah, mempunyai impak yang baik untuk seseorang.
Ujarnya , kristal itu sendiri asasnya ialah pasir dan tanah yang proses geologinya berlaku selama jutaan tahun sebelum terbentuk.
“Setiap jenis kristal mempunyai gelombang tersendiri yang baik untuk tubuh. Ia memulihkan kesihatan seseorang melalui interaksi dengan pusat tenaga di dalam badan.
“Terdapat tujuh cakra yang menjadi pusat tenaga. Sekiranya terganggu, ia akan mengakibatkan badan tidak selesa dan mudah mendapat penyakit,” katanya.
Menurut Jariah, tenaga yang terdapat dalam kristal sama seperti tenaga yang ada dalam tubuh manusia.
Beliau memberikan contoh, warna hijau (merujuk pada pusat tenaga dalam badan) pada bahagian dada lebih cenderung untuk kesihatan paru-paru dan jantung.
Kristal
“Jika pusat tenaga ini terganggu, seseorang mungkin menghadapi masalah berkaitan paru-paru dan jantung.
“Warna kelabu di bahagian leher manusia merujuk kepada kerongkong dan bahagian dalam leher.
“Warna merah pada ubun-ubun pula merujuk kepada kesihatan mata, hidung dan telinga. Manakala pusat tenaga berwarna kuning di bawah dada untuk limpa, pankreas dan buah pinggang,” katanya.
Ujarnya lagi, pusat tenaga berwarna oren pada bahagian perut untuk usus sementara merah pekat pula untuk saraf tunjang dan tulang belakang.
Jika semua tenaga dalam badan itu berada dalam keadaan baik, selain amalan pemakanan dan cara hidup yang sihat, seseorang akan hidup sihat tanpa tekanan.
“Tetapi jika sebaliknya, seseorang akan mudah tertekan dan mendapat penyakit,” katanya.
Jariah juga mengusahakan produk yang berasaskan bahan kristal seperti pencuci muka, penyegar muka, sabun mandi serta minyak wangi.
“Malah, ada produk kristal yang boleh menggantikan keberkesanan botox,” ujarnya.
Katanya lagi, penggunaan kristal untuk kosmetik dan perubatan juga dapat membantu membuang toksik, mencerahkan wajah selain meningkatkan tahap kesihatan seseorang.
“Kristal sebenarnya telah lama terbukti dari sudut kesihatan. Sebagai contoh, individu yang memakai cincin dan gelang kristal bukan sahaja bertujuan untuk hiasan bahkan merawat penyakit.
“Cuma saya menambah nilai perubatan itu dengan reiki dan hasilnya memuaskan,” katanya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_06.htm
No comments:
Post a Comment