Sunday, November 7, 2010

Mangsa kurang

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 33,350 orang berbanding 39,785 petang kelmarin berikutan semakin ramai mangsa di daerah Kubang Pasu dibenarkan pulang, tetapi daerah Kota Setar menunjukkan peningkatan ketara mangsa banjir.

Selain itu, daerah Pokok Sena turut mencatat penurunan manakala daerah Padang Terap kekal dan Pendang meningkat sedikit.


Sehingga 8 pagi semalam, bilangan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu adalah 12,341 orang daripada 3,324 keluarga berbanding 21,111 orang petang kelmarin.

Daerah Kota Setar mencatat bilangan mangsa seramai 18,926 orang daripada 4,866 keluarga berbanding 16,376 kelmarin.


Di Padang Terap, jumlah mangsa adalah 354 orang daripada 92 keluarga, Pokok Sena 1,480 mangsa daripada 250 keluarga dan Pendang 249 orang daripada 62 keluarga.


Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga kini 97 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 38 adalah di Kubang Pasu, sembilan di Padang Terap, 42 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementara itu, keadaan banjir di Perlis semakin pulih dan angka mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan kini berkurangan kepada 9,595 orang berbanding lebih 12,000 kelmarin.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, semua kira-kira 20 pusat pemindahan banjir di Padang Besar ditutup.

Bagaimanapun, katanya, 34 pusat pemindahan di kawasan Kangar dan empat di Arau masih beroperasi. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsakurang/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...