Sunday, November 7, 2010

Pelajar pindah ke Solo

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB

KUALA LUMPUR: “Kita sudah memindahkan semua pelajar di Yogyakarta ke Solo bagi membolehkan mereka dibawa pulang ke tanah air,” kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar selepas Yogyakarta diisytihar sebagai kawasan darurat dan tidak selamat diduduki.

Menurut Junaidy, walaupun sebelum ini ada pelajar masih menetap di Yogyakarta kerana masalah tertentu dengan pihak universiti mereka, pihaknya berjaya menyelesaikannya dengan pentadbiran universiti berkaitan, sekali gus membolehkan mereka diberi cuti sehingga keadaan dipastikan selamat.


“Yogyakarta memang sudah tidak selamat untuk didiami kerana debu halus yang keluar daripada Gunung Merapi sangat bahaya untuk kesihatan.

“Jadi, kita berbincang dengan pihak universiti untuk memberi cuti kecemasan kepada pelajar berkaitan selagi mana kawasan itu didapati tidak selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Junaidy berkata, seramai 357 pelajar serta lapan rakyat Malaysia yang bekerja di Yogyakarta dipindahkan dan sehingga kini pihaknya masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Indonesia bagi membolehkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di lapangan terbang Solo.


Katanya, penerbangan secara terus bagi membawa pulang rakyat serta pelajar Malaysia akan dilakukan sebaik permohonan itu diperoleh.

“Sebenarnya ini bukan satu arahan khusus kepada pelajar, sebaliknya kita beri kelonggaran sama ada mereka ingin ikut balik atau terus tinggal di Solo.


“Namun nasihat kita, sebaik-baiknya pulang ke tanah air kerana jika terus tinggal di Solo, makan serta minuman pasti tidak terurus dengan baik, yang mana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Selain itu, bagi mengelak pelajar terdedah kepada persekitaran tidak sihat, pihaknya juga membekalkan beberapa barangan keperluan serta ubatan tertentu seperti topeng penutup mulut dan hidung serta ubat titis.


Malah katanya, walaupun ada antara mereka mengalami masalah kesukaran bernafas ketika di Yogyakarta, namun sebaik dipindahkan, semuanya kini dipastikan dalam keadaan sihat.


“Kita bersyukur kerana sehingga kini semua tahap kesihatan pelajar berada dalam keadaan yang sangat baik.


“Yang lebih kita harapkan mereka dapat pulang ke tanah air bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan secara lanjut dilakukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelajarpindahkeSolo/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...