Mohd Shubihi Muhamad Zain |
ALOR SETAR, 14 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahan tindakan kerajaan Kedah tidak membenarkan beberapa media Umno membuat liputan perjalanan Sidang Bajet 2011 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang bermula hari ini. Menurutnya, tindakan tersebut bukan bermakna kerajaan negeri tidak mendokong kebebasan media namun sebagai pengajaran kepada mereka yang melakukan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri seperti yang terjadi dalam isu banjir baru-baru ini. "Media arus perdana ini sudah menyalahgunakan kebebasan mereka melakukan pembohongan dan fitnah atas nama kebebasan, yang kita nak adalah media yang melaporkan apa yang betul, adil, tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak ada tujuan politik disebaliknya. "Kebebasan media tidak mengizinkan pembohongan, kebebasan media juga tidak mengizinkan fitnah, adalah wajar kerajaan negeri mengambil tindakan sedemikian terhadap media yang tidak faham apa erti kebebasan media dan media menyalahgunakan kebebasan itu," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Ketika ditanya media berkaitan usul untuk membenarkan media-media terlibat membuat liputan sidang belanjawan itu oleh Adun-adun Barisan Nasional, beliau berkata, mereka berhak berbuat demikian mengikut peruntukkan sistem demokrasi yang diamalkan kerajaan negeri itu. "Terpulang kepada mereka kerana itu adalah hak mereka, dan terpulang pula kepada Speaker untuk menentukan samada menerima atau menolak usul itu kerana dia merupakan orang yang berkuasa ke atas perjalanan sidang dewan itu," katanya. Beliau mengulas beberapa organisasi media, dilarang memasuki DUN Kedah bagi membuat liputan sesi belanjawannya yang bermula pagi ini. Menurut Muhamad Helmi Mohamad Khalid, setiausaha akhbar kepada menteri besar, larangan itu dibuat ekoran laporan negatif media terhadap banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini. Hanya pemberita daripada The Star, Harakah, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Namban, Sin Chew, Kwong Wah, China Press, Nanyang Siang Pau, Guang Ming dan agensi berita Bernama dibenarkan membuat liputan untuk perbahasan belanjawan selama tiga hari itu. http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29464:larang-media-bohong-dan-fitnah-mahfuz&catid=1:utama&Itemid=50 |
No comments:
Post a Comment