SHAH ALAM – Seorang mat rempit bukan sahaja melakukan aksi berbahaya, malah bertindak nekad merempuh seorang polis trafik semasa melepaskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di Ampang, dekat sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Lans Koperal Henry Gregory, 32, cedera di kepala selepas tercampak dan diseret beberapa meter di atas jalan raya akibat rempuhan itu. Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, remaja terbabit cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis. Katanya, polis menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan lumba haram di kawasan itu dan terus ke lokasi bagi memantau aktiviti tersebut. Mangsa bersama lima petugas dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, sedang melakukan Ops Cegah Lumba Haram di persimpangan Jalan Taman Putra – Jalan Tasik Tambahan ketika kejadian. “Kumpulan mat rempit itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis trafik, tetapi seorang daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an berjaya ditahan. “Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka merempuh Gregory sebelum tujuh motosikal lain memecut laju melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam. Katanya, Gregory yang berasal dari Sabah dan sudah lima tahun bertugas di IPD dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar. http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8405485.asp |
No comments:
Post a Comment