Monday, November 15, 2010

Poster lelaki wali perempuan

Poster lelaki wali perempuan

Oleh Shamsul Munir Safini

BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.

KUALA LUMPUR: Satu lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo digunakan seorang jurunikah haram sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Dikenali sebagai Ustaz Hashim, lelaki warga Indonesia terbabit mendakwa lukisan berkenaan simbolik kehadiran ulama Islam terkenal di Pulau Jawa pada kurun ke-17 itu yang kononnya sentiasa berdampingan dengannya secara ghaib.

Setakat ini, ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan dalam bentuk poster itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, di sini, ketika lelaki itu hendak menikahkan satu pasangan, malam kelmarin.

Ketika serbuan pada kira-kira jam 8 malam, sepasang bakal mempelai yang lengkap berpakaian pengantin dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki dipercayai rakan dan saudara pasangan berkenaan.


Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

“Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim itu melarikan diri dengan memanjat siling rumah. Pemeriksaan sekitar kawasan rumah gagal menemui jurunikah itu.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ustaz terbabit menghubungi Jawi,” katanya.

Che Mat berkata, ketika disoal siasat 25 orang di dalam rumah berkenaan termasuk bakal pengantin pada mulanya memberi alasan mengadakan kenduri doa selamat.

Bagaimanapun, pasangan bakal mempelai itu tidak mampu berdalih apabila ditanya mengapa mereka lengkap berpakaian pengantin, lantas mengaku mereka mengadakan majlis pernikahan.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan Ustaz Hashim kepada mereka yang menggunakan khidmatnya adalah antara RM5,000 hingga RM 6,000.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ustaz palsu itu adalah mereka yang ingin berpoligami kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.

“Selain itu, sijil nikah yang diberikan sekadar menggunakan kertas biasa yang ditulis tangan dan ditandatangani lelaki digelar Ustaz Hashim itu,” katanya.

Che Mat berkata, pasangan bakal pengantin itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini manakala 23 yang lain dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Posterlelakiwaliperempuan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...