Monday, November 15, 2010

Nilai kebebasan Aung San Suu Kyi




RIBUAN penyokong srikandi demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi bersorak gembira apabila tokoh wanita itu tiba di ibu pejabat partinya, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), sehari selepas pembebasan tanpa syaratnya.

Suu Kyi dibebaskan selepas menjadi tahanan di rumahnya sendiri selama tujuh tahun.

Tiba dengan sebuah kereta dari kediaman tepi tasik di Yangon yang menjadi penjaranya selama ini, beliau menyusup masuk ke dalam pejabat cabuk itu. Di luar, kedengaran tepukan gemuruh diiringi laungan orang ramai: "Kami sayang Suu!"

Di ibu pejabat itu, Suu Kyi bertemu dengan diplomat-diplomat asing yang berpangkalan di Yangon dan dijangka menghadiri sesi pertemuan bersama pihak media dan rakyat. Beliau juga akan menghadiri sesi pengebumian seorang kawan rapat selain melawat Pagoda Shwedagon.

"Ini adalah satu pembebasan tanpa syarat. Beliau tidak dikenakan sebarang sekatan," kata peguamnya, Nyan Win.

Pembebasan Suu Kyi juga menimbulkan spekulasi sama ada srikandi itu mungkin menggunakan kebebasan yang baru dikecapi itu untuk mencabar pemerintah Myanmar sekarang atau mengambil langkah untuk berdamai.

Dalam penampilan sulungnya di khalayak pada petang Sabtu, Suu Kyi meluahkan hasratnya untuk meneruskan perjuangan politiknya. Namun, beliau tidak menyatakan sama ada akan mencabar junta tentera dengan demonstrasi atau sebarang langkah lain yang menyumbang kepada penahanannya sebelum ini.

"Kita ada banyak kerja yang perlu dibuat," katanya.

Wanita berusia 65 tahun yang berkarisma dan suka berterus-terang itu telah menjadi ikon perjuangan demokrasi di Burma sejak lama dahulu. Negara itu jatuh ke tangan pemimpin junta tentera sejak tahun 1962.

Bersatu padu

Di hadapan sekitar 5,000 orang penyokong yang membanjiri kediaman sambil menjerit riang dan juga menangis, Suu Kyi berkata, hanya dengan bersatu padu barulah matlamat dapat dikecapi.


ADAKAH pembebasan Suu Kyi kali ini dapat memberi sinar baru kepada proses demokrasi di Myanmar?


"Sudah lama saya tidak berjumpa dengan anda," katanya sambil tersenyum penuh perasaan dan menggenggam pancang-pancang di bahagian atas pagar itu.

Apabila seorang penyokong menghulurkan sejambak bunga kepada Suu Kyi, beliau menarik keluar sekuntum lalu diletakkan di celah-celah rambutnya.

Meskipun pembebasan Suu Kyi menggembirakan beliau dan para penyokongnya, berita baik itu hanya berlaku beberapa hari selepas satu pilihan raya yang dimenangi parti politik proksi junta tentera.

Tindakan tersebut dikutuk keras oleh negara-negara Barat, malah mereka turut melabelkan pilihan raya itu sebagai satu penipuan yang direka untuk melaksanakan kawalan berunsur kuku besi.

Kebanyakan pemerhati turut mempersoalkan kesesuaian masa bagi pihak pemimpin junta mengalihkan perhatian dunia daripada pilihan raya tersebut.

Adalah mustahil bagi pihak pemerintah junta membenarkan ikon demokrasi itu meneruskan perjuangannya.

Pesuruhjaya Kesatuan Eropah, Jose Manuel Barroso yang mengalu-alukan pembebasan Suu Kyi turut menekankan agar tiada sekatan dikenakan ke atas pejuang demokrasi itu.

"Sekarang adalah tempoh genting untuk memastikan Suu Kyi memiliki kebebasan bergerak dan bersuara malah dibenarkan mengambil bahagian sepenuhnya dalam proses politik di negaranya," kata beliau.


SUU KYI mendapat sokongan daripada masyarakat antarabangsa. Ribuan orang berhimpun di Trafalgar Square, London baru-baru ini meraikan pembebasannya.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggelar Suu Kyi sebagai wira.

"Sama ada Suu Kyi hidup di dalam penjara di rumahnya sendiri atau negaranya, ini tidak mengubah realiti politik pembangkang yang diwakilinya telah 'disenyapkan' secara sistematik. Malah, beliau turut disekat peluangnya untuk terlibat dalam kegiatan politik," kata Obama dalam satu kenyataan.

Di Myanmar, pihak-pihak lain pula menganggap Suu Kyi sebagai satu-satunya individu yang mampu menyatukan negara miskin dan terpencil di Indochina itu.

Manipulasi junta

"Suu Kyi ialah wira negara kami. Pilihan raya kami adalah satu penipuan. Semua orang tahu. Tetapi, masalahnya, mereka ada senapang, jadi apa yang boleh kami buat? Dialah satu-satunya orang yang boleh memberi demokrasi kepada kami," kata Tin Tin Yi, seorang pelajar universiti berusia 20 tahun yang berdiri berdekatan rumah Suu Kyi.

Para pengkritik pula berpendapat pilihan raya Myanmar pada 7 November lalu telah dimanipulasikan agar parti penyokong junta tentera dapat memperoleh kemenangan besar.

Seorang bekas duta Australia di Myanmar, Trevor Wilson berkata, adalah mustahil untuk kerajaan baru itu memenangi kepercayaan antarabangsa kecuali dengan membebaskan Suu Kyi. Lagipun, pilihan raya baru-baru ini juga jelas sekali tidak adil.

Menurutnya, perkembangan seterusnya bakal bergantung kepada jenis sekatan yang dikenakan ke atas Suu Kyi termasuk perkara-perkara yang boleh diperkatakan seandainya beliau dibenarkan bersuara.

"Kita hanya perlu tunggu dan lihat. Ia mungkin seperti satu permainan kucing dan tikus," kata Wilson.

Jurucakap parti NLD, Nyan Win berkata, Suu Kyi telah menyatakan hasratnya untuk membantu dalam siasatan penipuan undi. Parti NLD telah dibubarkan secara rasmi kerana enggan mendaftar untuk pilihan raya tersebut. Keadaan itu telah menimbulkan kemarahan pihak junta tentera.

Drama penahanan

Pilihan raya terakhir Myanmar pada tahun 1990 telah dimenangi oleh NLD, namun junta tentera enggan menyerahkan kuasa, sebaliknya mengambil langkah menumpaskan pembangkang.

Tahun lalu, Suu Kyi telah dijatuhkan hukuman tambahan tahanan di rumah selama 18 bulan berikutan insiden seorang lelaki AS berenang dalam tasik di rumahnya.

Penahanan Suu Kyi bermula pada tahun 2003 selepas perarakan yang diketuai beliau diserang hendap oleh perusuh pro-kerajaan di utara Myanmar.


BERIBU-RIBU penyokong Suu Kyi dan kumpulan media antarabangsa menanti kemunculan beliau selepas lebih tujuh tahun terkurung di kediamannya di Yangon.


Perjuangan Suu Kyi untuk demokrasi dimulakan pada tahun 1988. Demonstrasi besar-besaran pada tahun itu bertujuan untuk menentang pemerintahan tentera yang menguasai Myanmar selama 25 tahun. Beliau diberi kepercayaan untuk memimpin demonstrasi berkenaan kerana statusnya sebagai anak bekas pemimpin Myanmar, Aung San.

Aung San merupakan wira yang mengetuai perjuangan Myanmar mencapai kemerdekaan daripada British selepas Perang Dunia Kedua sebelum mati dibunuh oleh pesaing politiknya pada bulan Julai 1947. Ketika itu Suu Kyi baru berusia dua tahun.

Populariti dan perjuangan Suu Kyi yang merupakan pengasas parti NLD kian bertambah setelah beliau menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991.

Pada tahun 1989, Suu Kyi ditahan atas tuduhan keselamatan kebangsaan dan diletakkan di bawah tahanan rumah. Sejak 21 tahun lalu, Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan rumah lebih daripada 15 tahun. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...