Monday, November 15, 2010

Liow: Pengharaman hospital 'imaginasi' Ong

Nov 15, 10 12:45pm


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan dakwaan bahawa ahli parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat telah diharamkan daripada menghadiri majlis anjuran kementeriannya.

“Tidak ada perkara seumpama itu. Tidak terlintas langsung bagi saya berbuat demikian. Beliau bayangkannya sahaja. Saya tidak tahu di mana dia mendapat idea seumpama itu,” kata Liow kepada wartawan selepas sebuah majlis di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas dakwaan oleh Ong bahawa dia diketepikan semasa dua lawatan diraja di hospital Ampang, di kawasan parlimen yang diwakilinya.

Pada kejadian terbaru 9 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan hospital berkenaan tetapi Ong tidak dijemput.

Perkara yang sama berlaku pada 7 Jun lalu apabila Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah melawat hospital itu.

Ong mendakwa senarai tetamu disediakan oleh kementerian kesihatan dan pengecualian namanya itu adalah keputusan eksekutif.

Liow berkata dakwaan berkenaan adalah imaginasi Ong dan terpulang kepada hospital itu untuk menentukan senarai tetamunya bagi majlis-majlis berkenaan.

Tiada arahan pihak atasan

Beliau juga menafikan terdapat arahan daripada pihak atasan untuk tidak menyenaraikan nama Ong.

“Benarkah? Saya tidak fikir begitu. Tiada perkara seperti itu. Tiada arahan dari atas. Terima kasih,” kata Liow yang tidak mahu mengulas lanjut.

Dalam blognya, bekas presiden MCA itu berkata pengundi di Pandan mempunyai hak untuk mengetahui sama ada wakil yang dilantik mereka dipulaukan oleh kementerian berkenaan.

Dakwanya, sekirannya, sebagai perwakilan Pandan yang sah, jika beliau diketepikan maka, secara efektif semua pengundinya diketepikan oleh kementerian kesihatan.

Ong juga menggesa kementerian kesihatan mengesahkan atau menafikan bahawa terdapat polisi yang mengharamkan beliau daripada acara rasmi.

Liow, yang sebelum ini adalah naib presiden MCA dan sekutu Ong adalah antara pemimpin yang didakwa bertanggungjawab menumbangkan presiden MCA itu pada pemilihan parti tahun lalu.

Ong hanya mampu bertahan 17 bulan setelah dilantik dan digantikan oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek manakala Liow pula berjaya dilantik sebagai timbalan presiden yang baru.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...