Tuesday, January 4, 2011

Kerajaan tidak selamatkan sekolah usang

Harakahdaily

PETALING JAYA, 4 Jan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kerajaan Umno BN memang tidak pernah merancang untuk menyelamatkan sekolah-sekolah usang walaupun sedia tahu ianya melibatkan keselamatan dan nyawa anak-anak serta guru-guru.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laporan Sinchew Digest, semalam yang mendakwa seolah-olah kerajaan tiada kemampuan untuk membiayai kos pembaikan RM30 juta buat setiap 300 buah sekolah usang yang kini telah diklasifikasikan sebagai ‘menghadapi risiko keruntuhan’, adalah sesuatu yang amat memeranjatkan.

Ini, katanya kerana jumlah RM30 juta buat 300 buah sekolah usang itu hanya akan melibatkan peruntukan sebanyak RM9 bilion walhal kementerian telah diperuntukkan sebanyak RM36 billion sepanjang 2011 ini.

Katanya, kenyataan TPM ini seolah mengiyakan sikap tidak ikhlas kerajaan lanun Umn BN selama ini apabila dengan awal-awal lagi hanya memperuntukkan RM6 bilion buat pembangunan berbanding RM29 billion menanggung kos pengurusan Kementerian Pelajaran.

“Saya yakin, jika ketirisan berjumlah RM340 billion, iaitu sebanyak RM100 bilion telah berlaku sepanjang 22 tahun di era Tun Mahathir, dan ketirisan RM240 bilion sepanjang 5 tahun pemerintahan PM berikutnya seperti yang dilapor Brian Wain dapat dikawal dan dikesan semula, pastinya masalah kekurangan peruntukan ini tidak akan berlaku,” katanya yang juga ahli Parlimen Ampang dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Maka, bagi menjaga keselamatan anak-anak dan para guru yang belajar dan bertugas di 300 buah sekolah usang ini, beliau menggesa agar TPM sedia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Audit, SPRM, PDRM dan badan berkaitan lain untuk segera mengesan semula semua wang ketirisan sebanyak RM340 billion ini, agar dapat menampung kos pembaikan RM9 billion ini.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30158:kerajaan-tidak-selamatkan-sekolah-usang&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...