JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee tetap tenang walaupun berdepan dengan kemungkinan tidak mengendalikan skuad Sukan Sea di Indonesia hujung tahun ini.
Ini kerana ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal yang sudah membawa dua kejayaan besar kepada arena bola sepak negara turut dipertimbangkan majikannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diberikan peranan secara langsung membentuk skuad Sukan Sea. Jurulatih itu tidak menggelabah sebaliknya menerimanya dengan terbuka apabila menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Rajagobal malah sesiapapun jika diarahkan.
“Bagi saya, FAM mempunyai perancangan tersendiri untuk kebaikan pasukan Sukan Sea, senior dan Olimpik. Saya tidak mempunyai sebarang halangan.
“Apa yang penting pemain perlu sentiasa bersedia menggalas cabaran negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru itu menjelang misi sukar Malaysia mempertahankan pingat emas yang dimenangi apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Laos dua tahun lalu.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin menjelaskan perkara itu ada dalam pertimbangan dan sekiranya khidmat Rajagobal diperlukan, ia akan dilakukan tanpa menyisihkan Kim Swee.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai peranan sebenar Rajagobal sama ada sebagai jurulatih, penasihat atau sebagainya.
Tambah Kim Swee lagi, tumpuan utamanya adalah bagi menghadapi pusingan kelayakan pertama Sukan Olimpik 2012 menentang Pakistan pada 23 Februari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum bertandang pula di tempat lawan pada 9 Mac.
Nama Rajagobal kembali menjadi tumpuan selepas bertanggungjawab menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan Sea Laos dan seterusnya menghapuskan badi 32 tahun layak ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou, November lalu.
Kemuncaknya adalah membawa skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF kali pertama sejak ia mula dipertandingkan 14 tahun lalu.
Tahun ini ketua jurulatih kebangsaan itu dilihat tidak mempunyai sebarang tugas rasmi selain membimbing skuad utama menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 pertengahan tahun ini, selain kemungkinan diberikan tugas bagi perlawanan persahabatan menentang Chelsea, 21 Julai ini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KimSweetetaptenang/Article/index_html
No comments:
Post a Comment