Tuesday, January 4, 2011

Tertuduh kejam, ganas

KOTA TINGGI: Lelaki yang menikam Nur Ain Ashikin Jemedi, 18, sebanyak 19 kali dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu terhadap Habin Sulaiman, 42 atas kesalahan cuba membunuh mangsa menggunakan pisau.


Tertuduh juga dihukum penjara 17 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan kedua iaitu cuba membunuh Nur Ain menggunakan asid cuka getah.

Salawati yang mengambil kira kes itu mempunyai kepentingan awam, mengarahkan supaya hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.


Ketika menjatuhkan hukuman berkenaan, Salawati menyifatkan tindakan tertuduh sebagai kejam dan ganas sehingga boleh menyebabkan trauma teruk kepada mangsa.


Berdasarkan pertuduhan pertama di rumah No 41 Jalan Cemara Dua Kampung Baru Sungai Redan, kira-kira jam 9.15 pagi, 16 Disember lalu, tertuduh dengan niat melakukan perbuatan cuba membunuh Nur Ain Ashikin, menggunakan sebilah pisau serta asid cuka getah.

Ia menyebabkan mangsa cedera parah. Dakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.


Bagi pertuduhan kedua, pada masa, tarikh dan lokasi sama, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa dengan menggunakan sebilah pisau dan bahan berbahaya iaitu asid cuka getah pada tubuh mangsa.

Habin didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.


Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya, Natassa Zaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Natassa ketika prosiding memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan berasingan mengikut pertuduhan.


Dalam kejadian pada 16 Disember lalu, Nur Ain cedera parah di badan apabila ditikam 19 kali oleh tertuduh di rumah mangsa.


Selepas menikam Nur Ain tertuduh mencurah asid di badan remaja itu sebelum ke Balai Polis Ulu Tiram untuk menyerah diri.


Sebelum kejadian mangsa bersama adik perempuan berusia Nurrehan Jemadi, 13, dan anak saudara dikejutkan dengan kehadiran lelaki terbabit yang tiba-tiba menendang pintu rumah.


Ia diikuti dengan pertengkaran antara mangsa dan tertuduh sebelum Nur Ain ditikam bertubi-tubi dan disimbah asid cuka getah yang mengenai kepala dan badan. Mangsa cuba menyelamatkan diri, bagaimanapun lelaki terbabit mengekorinya dan menikam kaki serta tangan gadis malang itu. Pihak hospital mengesahkan tikaman yang mengenai perut gadis terbabit menyebabkan kandungan mangsa ketika itu berusia enam bulan meninggal dunia.


Berikutan kejadian, mangsa dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), akibat cedera parah dan 70 peratus badannya melecur terkena asid.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tertuduhkejam_ganas/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...