“SAYA tidak ada sebarang masalah dengan Misbun.”
Demikian pengakuan Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.
Sebelum ini, ada segelintir pihak membuat andaian bahawa keputusan yang dibuat Misbun untuk meletak jawatan disebabkan rasa tidak puas hatinya terhadap James.
Ia ekoran tindakan James yang melakukan rombakan terhadap sistem kejurulatihan dan corak latihan yang diterapkan sebelum beliau dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM.
Bagaimanapun, James yang memulakan tugasnya pada 1 September 2010 menafikan sekeras-kerasnya andaian tersebut.
Menurut James, jika beliau yang menjadi punca keputusan Misbun untuk meletak jawatan, sudah pasti jurulatih tersebut telah berbuat demikian sejak mula dia dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM.
“Itu semua andaian semata-mata. Saya sebenarnya langsung tidak mempunyai sebarang masalah dengan Misbun dan begitu juga dengan dia.
“Bukan sebab saya dia meletak jawatan. Saya tahu apa sebenarnya punca dia berbuat demikian, namun saya mahu berjumpa dengan dia terlebih dahulu sebelum memberi penjelasan lebih lanjut,” jelas James ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut James lagi, Misbun ada memberitahunya untuk berjumpa hari ini kerana ada sesuatu yang ingin dibincangkan.
“Dia (Misbun) ada beritahu saya untuk berjumpa esok petang (hari ini) dan saya akan berjumpa dengannya.”
“Saya tahu dia meletak jawatan pun pada hari Sabtu lalu ketika menghadiri upacara pengkebumian abang iparnya dan ketika itu juga dia memberitahu saya yang dia telah letak jawatan,” jelasnya lagi.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm
No comments:
Post a Comment