MOSCOW - Para penyiasat penerbangan di Rusia semalam menyiasat letupan sebuah pesawat penumpang Rusia yang membawa 124 orang semasa ia ditunda di sebuah landasan terbang bersalji di Surgut, Siberia, kata beberapa pegawai.
Mereka turut menyoal saksi-saksi dan penumpang dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran peraturan operasi penerbangan.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin itu, seramai tiga orang terbunuh manakala 43 lagi cedera termasuk enam mangsa yang melecur teruk.
Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan, Vadim Grebennikov berkata, kebakaran bermula di salah sebuah enjin semasa pesawat itu ditunda untuk berlepas.
Dia berkata, kebakaran tersebut menyebabkan satu letupan kuat sehingga memusnahkan pesawat Tu-154 itu.
Selepas api dipadamkan hanya ekor pesawat dan sebuah sayap yang dapat diselamatkan manakala bahagian lain hangus terbakar.
Seorang penumpang, Vladimir Politvov berkata, beberapa penumpang berlari meredah api untuk menyelamatkan diri.
"Hanya sebuah pintu kecemasan yang berfungsi. Kami tidak dapat melihat pintu di bahagian tengah," kata seorang lagi penumpang, Olga Sytnik.
Menurutnya, penumpang yang keluar dari pintu kecemasan mendapati mereka berada dekat dengan sayap pesawat.
Orang ramai turun dari pesawat itu dengan menggunakan tangga manakala beberapa lagi melompat dari sayap pesawat dan berlari, tambahnya.
Semua tiga enjin pesawat itu terletak di bahagian belakang.
Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Surgut, Siberia ke Moscow.
Seorang mangsa yang terselamat, Sergei Grigoryev berkata, dia yang duduk di bahagian belakang pesawat melihat beberapa orang memijak kepala penumpang lain semasa mereka bergegas untuk menyelamatkan diri. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment