KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan bekalan minyak yang sebelum ini dilaporkan berlaku di Perlis dan Kelantan kini menular di sekitar pusat bandar raya apabila bekalan itu sukar didapati pengguna.
Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kedai runcit di sekitar ibu kota kehabisan bekalan berkenaan sejak dua minggu lalu. Bagaimanapun, bekalan berkenaan masih boleh didapati di beberapa pasar raya besar walaupun ada sesetengah pasar raya mengehadkan pembelian minyak bagi setiap pelanggan memandangkan bekalan terhadap bahan masakan itu meningkat.
Bagaimanapun, harga bekalan berkenaan masih lagi stabil apabila sekampit minyak masak seberat satu kilogram dijual dengan harga RM2.50 dan RM6.20 bagi minyak masak dijual dalam botol dua kilogram dilihat hanya membabitkan beberapa jenama minyak masak saja.
Peniaga kedai runcit, Hasbi Mohd Nafi, 48, berkata masalah itu mula dialami sejak tiga hari lalu sehingga menyebabkan pengguna merungut dan tidak berpuas hati.
Sebelum ini, Hasbi mendapatkan bekalan di Pasar Borong Selayang tetapi dimaklumkan bekalan itu tidak mencukupi sedangkan dia biasanya menempah 20 kotak minyak masak dengan setiap kotak mengandungi 17 kampit minyak masak seberat satu kilogram.
“Bagaimanapun, ketika membeli stok baru-baru ini, saya hanya menerima dua kotak saja minyak masak. Bekalan itu sememangnya tidak mencukupi dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera.
“Bukan hanya kekurangan minyak masak kampit malah minyak masak botol seberat dua kilogram juga tidak dapat dijual menyebabkan buntu memikirkan cara untuk mendapatkan stok,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Pekerja pasar raya, Norlela Abdul Ghani, 43, pula berpendapat masalah ini perlu diselesaikan segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk kerana ia adalah barang keperluan harian.
Katanya, ketiadaan bekalan berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya walaupun dia hanya membeli barang keperluan harian pada hujung bulan.
“Apa yang saya lihat, ketiadaan bekalan ini membabitkan beberapa jenis minyak masak saja yang mana masalah ini lebih serius di kedai-kedai runcit berbanding pasar raya.
“Mungkin hal ini berlaku apabila ada sesetengah pihak menyembunyikan bekalan yang ada memandangkan sebelum ini ada khabar angin mengatakan harga bahan masakan itu akan naik,” katanya.
Bagi P Santhivan, 46, pula kedai runcitnya sudah seminggu tidak mempunyai bekalan minyak masak sedangkan sebelum ini dia menerima dua kotak minyak masak dengan setiap kotak mengandungi 17 kampit.
“Jika dulu, saya biasanya membeli dua kotak minyak masak untuk dijual dalam tempoh seminggu di kedai tetapi kini bekalan berkenaan tidak dapat diperoleh,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menularkeibukota/Article/index_html
No comments:
Post a Comment