PAS mahu perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil diadakan sekali lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memenuhi tuntutan mereka dalam masa terdekat.Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, parti itu akan mendesak pihak BERSIH 2.0 sekali lagi menganjurkan perhimpunan itu.
“SPR perlu perubahan. Kalau tidak selesai menjelang pilihan raya, kita akan cadang BERSIH adakan perhimpunan sekali lagi. Tentang lapan tuntuan itu, empat daripadanya boleh dilakukan SPR. Jangan berdolak-dalik,” katanya.
“Bersih kemukakan lapan dan empat tuntutan boleh dilakukan janganlah berdolak-dalih, kalau pilihan raya adil Barisan Nasional (BN) nak menang sampai bila pun, menanglah… kami tiada masalah terima kekalahan, yang kami tidak mahu adalah penipuan berlaku.
“Jika SPR tidak mahu buat perubahan segera, kami akan cadangkan kepada Bersih untuk buat perhimpunan sekali lagi… ada tuntutan yang boleh disegerakan SPR dan kalau tiada perubahan, kami akan desak Bersih buat perhimpunan yang lebih besar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Mohamad yang mesra dengan penggilan “Mat Sabu” berkata PAS akan terus memberikan sokongan terhadap tuntutan Bersih.
“Kami, dari PAS, akan terus menyokong tuntutan Bersih dan kami berterima kasih kepada peserta walaupun ada sekatan dengan pelbagai cara lebih 50,000 berjaya berada di Kuala Lumpur.
“Ini menunjukkan semangat rakyat begitu tinggi untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil, kita sebelum ini telah mengatakan bahawa ia adalah perhimpunan aman namun bertukar ganas apabila pihak polis mula serang orang ramai.
“Saya juga telah nyatakan bukan sekadar kawat berduri, bahkan kandang babi juga rakyat akan masuk jika ditembak dan ini terjadi apabila mereka masuk ke dalam hospital,” katanya yang hadir dengan berkerusi roda.
Tegas beliau, polis telah bertindak ganas terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 dan ia melanggar etika agensi penguat kuasa yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.
“Kalau polis beri kerjasama peniaga-peniaga akan bergembira, tapi berlaku kucar-kacir apabila polis dihantui Umno yang sedang lemas.
“Polis didoktrin oleh Umno, polis bukan jaga keselamatan rakyat tapi jaga Umno-BN, patut polis jaga keselamatan tapi bertindak ejen Umno untuk buat provokasi,” katanya.
Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat ditahan.
Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.
http://www.kl-today.com/2011/07/bersih-3-0-jika-tuntutan-ditolak-spr/
No comments:
Post a Comment