Wednesday, July 13, 2011

BERSIH: BRITAIN DIDESAK TEKAN NAJIB

POSTED BY ADMIN ON JULY 12TH, 2011

Amnesty International mendesak Britain memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, didakwa menyaksikan tindakan keras pihak berkuasa ke atas peserta perhimpunan.Najib memulakan lawatan rasmi sulung ke Britain sejak menjadi perdana menteri hari ini.Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest berkata, selain menahan peserta perhimpunan pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka.

Dalam kenyataannya, Guest berkata ramai peserta perhimpunan telah dikasari oleh pihak keselamatan.

“Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat.

“Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan,” katanya.

Justeru kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

“Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia.

“David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima,” katanya.

Selain itu, kata Guest, beliau juga berharap Vatican dapat memberi tekanan kepada Najib supaya menghormati hak asasi manusia ketika pemimpin nombor satu Malaysia itu melawat ke Rom minggu ini.

Selain itu, kata beliau, disebabkan tindakan pihak keselamatan seorang peserta Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia selepas terhidu gas pemedih mata dan disahkan meninggal dunia di hospital.

“Kerajaan Perdana Menteri Najib telah bertindak ke atas ribuan rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk berkumpul secarta aman.

“Keganasan yang dilakukan pihak berkuasa bertentangan dengan hak asasi manusia dan ia tidak boled dibiarkan. Mana-mana perhimpunan selepas ini patut dibenarkan dan pihak berkuasa harus menghormatinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru tegas Guest, pihaknya menuntut pentadbiran Najib menyiasat kegagalan pihak keselamatan memberi bantuan segera kepada Baharuddin sebelum dia menemui meninggal dunia.

“Ia termasuk dakwaan mengatakan ambulans tiba di tempat kejadian satu setengah jam selepas Baharuddin jatuh pengsan,” katanya.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

“Penggunaan keganasan oleh pihak keselamatan secara berlebihan ini sepatutnya tidak perlu kerana ia akan menakutkan rakyat,” kata Guest lagi.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Ekoran keganasan pihak keselamatan, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan itu.

Hari ini, Dewan Pemuda PAS pusat akan membuat satu laporan rasmi kepada Suhakam berhubung tindakan keras pihak berkuasa semasa menangani peserta Himpunan Bersih 2.0.

Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung kekerasan yang digunakan pihak keselamatan semasa perhimpunan itu.

Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”


http://www.kl-today.com/2011/07/bersih-britain-didesak-tekan-najib/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...