Jul 12, 11
10:00am
Ramai yang melabelkan perhimpunan itu sebagai BERSIH 3.0.
Anwar tiba dengan memakai pemaut leher dan terpaksa dibantu ketika menuju ke pentas utama sambil diberi tepukan gemuruh manakala pemimpin PAS yang popular dengan panggilan Mat Sabu itu pula terpaksa menggunakan kerusi roda dan dibantu oleh petugas untuk naik ke pentas.
Jurugambar sibuk merakamkan gambar mereka manakala wartawan dan orang ramai yang hadir semua menanti kedua-dua mereka menceritakan pengalaman pada 9 Julai lalu.
Namun, pihak penganjur secara lembut meminta jurugambar dan orang ramai supaya bertenang agar kedua-dua pemimpin itu tidak tercedera lagi.
Pada ucapan ringkasnya, Anwar yang jelas kelihatan lesu dan kurang bertenaga daripada biasa, dipercayai akibat kesakitan yang dialaminya akibat diserang gas pemedih mata di KL Sentral menganggap tindakan pihak berkuasa pada Sabtu lalu sebagai satu jenayah.
"Najib kamu boleh pukul, dera tapi tidak boleh tahan hati rakyat. Hati yang luka itu akan bangkit," katanya.
Anwar turut mengecam tindakan polis yang melakukan kekerasan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada perhimpunan di Kuala Lumpur itu.
Jelasnya, beliau berpegang teguh kepada nasihat Hadi yang tidak keberatan untuk turun sekali lagi bersama rakyat menentang kezaliman kerajaan Umno-BN.
Dakwaan mengatakan kaum Cina tidak menyertai perhimpunan itu adalah meleset menurut beliau berikutan respon daripada kaum itu amat mengalakkan terutama di kalangan generasi muda.
Hadirin di Seberang Jaya ini yang majoritinya orang Melayu diberitahu bagaimana perdana menteri selepas mendalangi apa yang terjadi pada Sabtu lalu tergamak mendakwa beliau menipu tentang kecederaannya.
"Saya terpaksa pakai paut leher - ini arahan doktor selepas merawat dan melihat seteruk mana kecederaan di leher dan tulang belakang saya... bukan saya yang mintanya,” katanya.
"Najib mahu semua orang fikir saya sengaja buat pembedahan (tulang belakang) di Munich supaya saya boleh kembali dan tunjuk kepada semua orang,” katanya sambil membidas perdana menteri itu.
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
http://malaysiakini.com/news/169657
No comments:
Post a Comment