Wednesday, July 13, 2011

Saksi lihat darah di kepala Ahmad Sarbaini

Jul 11, 11 8:28pm

Seorang saksi yang dipanggil semula memberi keterangan dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner, beliau melihat darah berukuran kira-kira sejengkal di bahagian kepala Allahyarham ketika melihat tubuh mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

NONEPenolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Henrita Serai Anak Endrew Lenggie berkata beliau melihat darah itu sedang mengalir dari kepala Allahyarham ketika beliau menjenguk di tingkap yang terbuka luas yang berada di bilik pantri, aras tiga bangunan berkenaan.

"Saya rasa takut dan kejadian itu menjadi igauan kepada saya sehingga sekarang," kata saksi ke-10 itu ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Henrita, 24, juga kelihatan takut dan tangannya menggeletar ketika diminta oleh Muhammad Shafee untuk menunjukkan kedudukan darah pada gambar Allahyarham, yang berada dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya yang berlumuran darah, yang dipaparkan pada skrin putih di dalam mahkamah dengan menggunakan penunjuk laser.

Gambar Allahyarham Ahmad Sarbaini, yang juga penolong pengarah Kastam Selangor, sebanyak enam keping itu diambil oleh Penolong Pegawai Perubatan, Nur Mohd Azami Mansor dari Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika gambar itu dipaparkan di dalam mahkamah, kelihatan isteri Allahyarham, Masiah@Maziah Manap menangis teresak-esak dan menutup mukanya sambil ditenangkan oleh anggota keluarga.

Muhammad Shafee berkata beliau meminta Henrita yang sebelum ini memberi keterangan pada Jumaat (8 Julai) lepas dipanggil semula untuk menunjukkan kedudukan darah itu bagi menentukan masa sebenar kematian mangsa dan sama ada mangsa masih bernafas atau tidak.

"Kedudukan darah ini tidak disoal oleh semua pihak kerana mungkin mereka terlepas pandang dan perkara ini penting sebelum pakar patalogi dipanggil untuk memberi keterangan selepas ini," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu, Nur Mohd Azami dalam keterangannya berkata pada hari kejadian, pada 10.35 pagi, beliau menerima arahan daripada pusat panggilan kecemasan, HKL yang memaklumkan ada orang cedera di pejabat SPRM, di Jalan Cochrane.

"Saya bersama dua kakitangan bergegas ke pejabat itu dan apabila sampai di pejabat SPRM pada 10.48 pagi, saya melihat mangsa terbaring dengan pendarahan di kepala," katanya.

Setelah memeriksa nadi di bahagian leher, beliau mendapati mangsa telah meninggal dunia dan terus menghubungi pusat kawalan kecemasan di HKL bagi memaklumkan perkara itu, kata saksi ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Nur Mohd Azami, yang juga saksi ke-15 inkues berkata beliau mengambil enam keping gambar menggunakan telefon bimbit untuk urusan kerja seandainya terdapat perkara berbangkit.

"Gambar itu diambil selepas saya membuat pemeriksaan ke atas mangsa (Ahmad Sarbaini) dan gambar itu menunjukkan tangan di sebelah kiri mangsa bengkak, dan juga sebelah kaki kanan mangsa juga patah," katanya.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Koperal Nee Itam Ahmad dari Pusat Kawalan Polis, Cheras, Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Mohd Rosly Mohd Saupi, Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Khalid Amir Meruphy Abdullah dan Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169649

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...