Jul 12, 11
5:29pm
Laporan bedah siasat itu penting bagi membolehkan keluarganya mengetahui sebab sebenar kematian Allahyarham, kata Rosni ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya di AU3, Setiawangsa hari ini.
Sedangkan, polis telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.
Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, yang masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal.
Rosni juga tertanya-tanya sama ada kematian itu ada kaitan dengan tindakan polis ketika menyuraikan perhimpunan yang disertai Allahyarham Baharudin di hadapan KLCC, Jalan Ampang pada petang Sabtu lalu.
"Jadi saya masih tidak tahu (Baharudin) meninggal dunia sebab kena gas atau apa. Saya tak tahu sama ada dia kena kejar polis.
"Benda-benda pasal ini banyak orang bercerita, tapi saya tidak ada di tempat kejadian," katanya lagi.
Dilaporkan, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada petang Sabtu lalu setelah terjatuh di bangunan Avenue K di Jalan Ampang.
Keganasan polis
Kematian Allahyarham menjadi perhatian apabila ia turut dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.
Menteri dalam negeri setakat ini enggan mengesahkan dakwaan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa Baharuddin – yang didakwa meninggal dunia selepas ditangkap polis semasa perhimpunan itu – dinafikan rawatan perubatan sewaktu ditahan.
Rosni juga berkata, anak sulungnya, Dr Mirza juga telah berkunjung ke HKL semalam dan hari ini untuk memohon laporan bedah siasat berkenaan, namun masih gagal mendapatkannya.
Katanya lagi, sebab kematian akibat penyakit jantung seperti yang dinyatakan polis itu hanyalah berdasarkan laporan bedah siasat awal selepas mangsa dibawa ke HKL.
HKL hanya menjalankan bedah siasat ke atas jenazah suaminya antara jam 11 malam hingga 3 pagi selepas itu, kata Rosni lagi.
Sementara itu, anaknya Mirza berkata keputusan itu mungkin hanya akan siap dalam tempoh hingga lima minggu.
Perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang petugas di HKL ketika beliau hadir untuk mendapatkan laporan tersebut hari ini.
"Tapi ini kes berprofil tinggi, jadi saya sangat tertunggu-tunggu laporan itu," katanya lagi ketika dihubungi petang ini.
http://malaysiakini.com/news/169734
No comments:
Post a Comment