KUALA LUMPUR, 9 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pihak polis dan kerajaan Malaysia menghormati pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai badan bebas yang memantau hak-hak asasi di Malaysia.
“Jika tidak, DPPWP meminta kerajaan memansuhkan sahaja Suhakam kerana suara mereka tidak lagi didengari,” kata Timbalan Ketua DPPWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataannya berkata kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Beliau juga mengingatkan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.
Mohamad Suhaimi berkata, DPPWP mengingatkan kerajaan bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan aman dan dijamin oleh pemimpin-pemimpinnya.
Tambahnya, tidak ada agenda tersirat di sebalik himpunan itu melainkan untuk menyambut semangat kebebasan berhimpun dan bersuara seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, dalam menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Bersih 2.0 sanggup berkompromi untuk mengadakan himpunan di Stadium Merdeka.
Oleh itu, ujarnya DPPWP mendesak kerajaan dan pihak polis agar menghormati titah ucapan DYMM serta pandangan Suhakam agar membenarkan himpunan diadakan secara aman di Stadium Merdeka petang ini.
DPPWP sanggup memberi kerjasama untuk memastikan keselamatan orang awam, peniaga, serta lalulintas berjalan lancar pada masa tersebut.
DPPWP juga, katanya mendesak kerajaan agar membebaskan semua tahanan Bersih 2.0 dan tidak melakukan tangkapan lagi bagi menghormati peserta Himpunan Bersih yang bertindak mengikut lunas Perlembagaan.
Selain itu, tambahnya DPPWP mendesak kerajaan agar mendakwa semua tahanan yang ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dibebaskan atau didakwa di mahkamah secepat mungkin.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4258-bubar-sahaja-suhakam-jika-suaranya-tidak-dihormati
No comments:
Post a Comment