Saturday, July 9, 2011

MB mohon Agong titah adakan referendum bebas

Jul 8, 11 8:37pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong mencadangkan kepada Seri Paduka menitah supaya diadakan tinjauan pendapat atau referendum bebas bagi mengetahui berapa ramai rakyat mahukan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Surat tersebut telah dihantar kepada Seri Paduka petang ini.

Seterusnya, kata Khalid, kesemua kehendak rakyat ini perlulah dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau kerajaan Malaysia yang dilantik dengan perkenan Seri Paduka.

azlanKatanya, beliau terharu dan menghargai keprihatinan Seri Paduka yang sudi berjumpa dengan ahli jawatankuasa BERSIH pada 3 Julai lalu serta mengikuti perkembangan BERSIH.

Menurut Khalid, memorandum yang akan dihantar kepada Seri Paduka mempunyai lapan perkara yang memohon baginda campurtangan bagi memastikan pilihan raya umum di negara ini dilaksanakan secara adil, telus dan bersih.

“Kepincangan dan manipulasi proses pilihan raya sudah menjadi pengetahuan umum, semakin terdedah dan tersiar di media cetak dan elektronik, media maya dan blog.

“Pencinta kebebasan bersuara, pejuang kebajikan rakyat, pemikir dan penulis yang prihatin tidak rela melihat perbuatan dan tindakan tidak
bertanggungjawab ini terus dilakukan,” kata menteri besar.

Khalid mendakwa, pilihan raya tidak jujur di negara ini terjadi dalam beberapa bentuk seperti:

1. Memanipulasi kawasan persempadanan.

2. Jumlah perbezaan pengundi yang terlalu besar antara DUN dan Parlimen.

3. Penipuan senarai pengundi, penggunaan sumber dan jentera kerajaan secara berleluasa.

4. Penyamaran dan penukaran kotak undi.

5. Sistem undi pos yang menimbulkan tandatanya.

6. Waktu berkempen yang singkat; dan

7. Laporan media yang berat sebelah.

Menteri besar berkata, memorandum rakyat yang akan diserahkan kepada Seri Paduka esok mengandungi suara rakyat terbanyak dan prihatin terhadap pilihan raya yang adil, bebas serta wajar diberi perhatian serius demi kelangsungan amalan demokrasi di negara ini.


http://malaysiakini.com/news/169365

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...