Saturday, July 9, 2011

Saksi: Sarbaini tak pernah ambil wang dari syarikat

Saksi: Sarbaini tak pernah ambil wang dari syarikat
Jul 8, 11 5:18pm

Seorang pegawai syarikat logistik yang kerap berurusan dengan kastam memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed tidak pernah mengambil wang daripada syarikat itu dan meminta beliau memberitahu demikian kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wan Zainalabidin Wan Zaki, 47, eksekutif kanan operasi eksport logistik Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhad, berkata beliau juga tidak pernah memberi sebarang wang ehsan atau rasuah kepada Ahmad Sarbaini, yang ditemui mati pada 6 April lepas di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan setelah pergi ke situ secara sukarela untuk menemui pegawai SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai kastam.

Wan Zainalabidin, yang merupakan saksi ke-11 prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, 56, berkata Allahyarham memberitahunya menerusi panggilan telefon yang dibuat pada pukul 11 pagi, 5 April sehari sebelum Allahyarham meninggal dunia.

Bagaimanapun, Wan Zainalabidin hanya membalas permintaan Ahmad Sarbaini dengan menyatakan: "Tak apalah, kalau orang SPRM telefon, nanti saya bagi keterangan".

Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd merupakan ejen yang berurusan dengan Jabatan Kastam dalam menguruskan barangan untuk dieksport.

Wan Zainalabidin berkata Ahmad Sarbaini juga menghubunginya pada jam 8.55 malam 4 April dan memberitahunya bahawa beliau ada menyebut nama Wan Zainalabidin kepada SPRM.

"Ketika Allahyarham telefon saya, dia baru keluar dari bangunan SPRM dan dia kata kepada saya dia ada menyebut nama saya dan syarikat Schenker kepada SPRM dan memberitahu saya ada memberi duit kepadanya antara RM50 hingga RM100," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Saksi itu berkata beliau ada berjumpa dengan Ahmad Sarbaini pada jam 5.15 petang keesokannya (5 April) di sebuah restoran dan bertanyakan kepada Allahyarham, mengapa namanya diberikan kepada SPRM.

"Allahyarham berkata kepada saya ketika itu, dia buntu...dia hanya ingat nama Zainal...Schenker...Schenker...Zainal...saya rasa mungkin Allahyarham tertekan," katanya.

Ketika disoal oleh Azlina sama ada beliau nampak sesuatu yang luar biasa pada Allahyarham ketika mereka bertemu, Wan Zainalabidin berkata pada hari itu mereka makan mi goreng di sebuah restoran tetapi baru sesuap dua mereka makan, Allahyarham berkata dia tak ada selera kerana mi itu masin.

"Ketika itu Allahyarham tenung saya agak lama dan tidak pernah dia tenung saya macam itu," katanya.

Wan Zainalabidin berkata beliau menghubungi Ahmad Sarbaini pada jam 9.55 malam 5 April untuk bertanyakan keadaannya dan itulah perbualan terakhir beliau dengan Allahyarham.

Katanya, dalam perbualan itu, Allahyarham dengan nada yang agak sedih berkata: "Saya tak sangka dapat kawan macam awak. Awak beri semangat kepada saya untuk hidup".

Wan Zainalabidin berkata beliau mendapat tahu berita mengenai kematian Ahmad Sarbaini ketika beliau sampai di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan untuk memberi keterangan pada 6 April.

Terdahulu, Penolong Penguasa SPRM, Henrita Serai dalam keterangannya berkata beliau terkejut dan hampir pitam apabila melihat mayat Ahmad Sarbaini berada di tingkat satu bangunan itu.

"Saya masuk ke bilik pantri di aras tiga dan hairan apabila lihat tingkap di bilik itu yang berdekatan dengan sinki terbuka dengan luas...saya terasa nak jenguk ke bawah kerana kebiasaannya tingkap itu tidak dibuka begitu luas dan saya rasa ada sesuatu yang berlaku di situ.

"Apabila saya jenguk di tingkap itu, saya nampak satu badan manusia berlumuran darah,"katanya ketika disoal peguam Awtar Singh, yang mewakili keluarga Allahyarham.

Henrita, 24, saksi ke-10 inkues itu, berkata beliau tidak menyangka Ahmad Sarbaini yang beliau kenal dan pernah bercakap, mati dalam keadaan sedemikian dan memaklumkan kejadian itu kepada pegawai penyiasat kes, Abdul Ghani Ali dan Penolong Penguasa Kamal Awang Besar.

Ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM bagaimanakah reaksi Abdul Ghani dan Kamal apabila diberitahu mengenai kematian Ahmad Sarbaini, Henrita berkata : "Mereka terkejut dengan kejadian itu kerana kedua-dua mereka juga mencari Ahmad Sarbaini yang tiba-tiba tiada di tingkat tiga bangunan itu".

Ahmad Sarbaini, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani disambung Isnin ini.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/169339

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...