Saturday, August 20, 2011

Isu murtad: Kena selidik betul-betul, kata Dr M

Ogos 19, 11 5:49pm

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengambil tindakan dalam isu dakwaan cubaan memurtadkan umat Islam di negara ini sebaliknya perkara itu perlu diselidiki dahulu.

"Kadang-kadang tuduhan itu benar, kadang-kadang tak. Kalau gopoh untuk menyiasat, esok bila (tindakan itu) salah, orang dah tak percaya lagi. Tunggu dulu sehingga dapat maklumat yang benar," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ehsan, Batu 3, Kodiang, dekat Jerlun malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan ahli parlimen Jerlun.

Dr Mahathir berkata masyarakat Islam sendiri perlu mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan bantuan bagi mengelak kemungkinan akidah mereka terpesong.

"Kalau tak ambil berat dan mereka menderita, mungkin mereka akan tertarik dengan orang yang menawarkan bantuan kepada mereka," katanya.

Dr Mahathir juga berkata rakyat negara ini perlu memilih pemimpin yang betul jika mahu melihat Malaysia terus kekal di hadapan dalam aspek kemajuan berbanding negara lain.

"Jika pilih pemimpin yang tak kena, dia (negara-negara lain) akan potong kita. Jangan pilih orang yang cuma nak jadi perdana menteri tetapi tak nak buat apa-apa," katanya.

- Bernama



http://malaysiakini.com/news/173558

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...