Saturday, August 20, 2011

Lulus segera akta murtad



IPOH – Akta Murtad perlu diluluskan segera bagi menyekat dan menghalang mana-mana pertubuhan agama bukan Islam mempengaruhi umat Islam supaya memeluk agama mereka.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, senario hari ini memperlihatkan umat Islam terlalu bertolak ansur atau berkompromi dengan pihak terbabit sehinggakan mereka berani bertindak sedemikian.

Menurutnya, kerajaan perlu tegas terhadap kumpulan yang wujud atas platform pergerakan agama, khususnya apabila cuba mengambil kesempatan mempersoalkan kesucian agama Islam serta dalam masa sama mempengaruhi orang Islam memeluk agama lain.

“Apabila kita terlalu berlembut, ia sekali gus membuka ruang kepada mereka memurtadkan lebih ramai orang Islam.

“Perkara ini perlu ditangani bagi mengelakkan ia berpanjangan seterusnya menimbulkan kebimbangan dan kemarahan umat Islam,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Tegas Harussani, isu murtad tidak akan berlaku jika kerajaan bertegas dengan apa digariskan dalam perlembagaan, Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi agama lain boleh diamalkan orang bukan Islam tanpa mempertikaikan kedudukan agama Islam serta mempengaruhi orang Islam memeluk agama mereka.

Katanya, peristiwa berlaku mutakhir ini menyaksikan kebangkitan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi aman menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kontroversi pemeriksaan terhadap sebuah gereja dipercayai mengadakan majlis untuk memesongkan akidah umat Islam adalah isu membimbangkan.

“Ketiadaan akta murtad menyebabkan kumpulan itu mengambil kesempatan memperdaya umat Islam memeluk agama mereka.

“Sebab itu, akta murtad perlu diwujudkan kerana Islam adalah agama rasmi negara dan hakikat ini tidak boleh dipertikaikan sesiapapun,” katanya.


Mengulas mengenai isu pemeriksaan ke gereja Methodist oleh Jais, katanya, tindakan berkenaan adalah tepat dan betul.

Dalam masa sama, menurutnya, kesedaran harus wujud dalam kalangan umat Islam bahawa mereka mesti mencintai dan menyayangi agama Islam.

Harussani juga menggesa institusi zakat supaya mengutamakan fakir miskin bagi menghindarkan golongan itu didekati pihak yang cuba mempengaruhi mereka untuk memeluk agama lain.

“Utamakan fakir miskin, selain daripada yang lain, kita tak boleh buat masjid dengan duit zakat, buat sekolah de-ngan wang zakat selagi ada fakir miskin yang memerlukannya.

“Maka itu mestilah didahulukan fakir miskin supaya jangan ada yang sampai terjual agama,” katanya.


Dengan nada kerisauan, beliau menyatakan isu murtad di Malaysia bukan perkara baru malah ia telah bermula sejak berpuluh tahun dahulu tetapi ia dijalankan secara sulit.

“Golongan sasaran mereka, belia terutama bekerja di kilang termasuk yang menyertai kegiatan muzik black metal di lokasi hiburan dan sebagainya.

“Di situ anak belia Melayu ini dipengaruhi hingga ada dalam kalangan mereka yang berjaya dipengaruhi telah ambil tindakan koyak dan membaling al-Quran,’’ katanya.



http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story9447129.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...