Saturday, August 20, 2011

Selangor digesa siasat dakwaan Umno dalang

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 19 Ogos: Dewan Pemuda PAS Selangor hari ini mahu kerajaan negeri menyiasat dakwaan PAS bahawa isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama didalangi Umno.

Gesaan itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini bahawa beliau mempunyai bukti bahawa Umno terlibat dan berperanan di sebalik pemeriksaan Jais itu.

Sehubungan itu, mereka meyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Agama Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali.

Pemuda PAS Selangor diwakili ketuanya, Hasbullah Ridhwan dan timbalannya, Mohd Sany Hamzan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Dr. Hassan manakala bagi pihak Menteri Besar, memorandum tersebut diterima setiausaha sulitnya Mustapha Mohd Talib di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

"Ini suatu yang sangat malang jika agensi kerajaan negeri (Jais) boleh dicampurtangan parti politik seperti itu.

"Apatah lagi ianya dibuat dalam keadaan politik Umno yang selalu guna isu agama untuk hidupkan politik mereka yang dah nak mati," kata Hasbullah pada sidang media selepas pertemuan kira-kira setengah jam dengan Dr. Hassan.

Dalam pertemuan itu juga ujarnya, Dr. Hassan bagi pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan Mustafa itu.

Sehubungan itu, mereka mahu setiausaha agung PAS itu menyerahkan bukti berkaitan kepada kerajaan negeri.
Mengulas penyebaran video klip yang didakwa rakaman sewaktu pemeriksaan gereja itu oleh bloger Umno, Mohd Sany pula berkata ianya sesuatu yang sangat mengejutkan di waktu Jais masih belum pun siap siasatan mereka.

"Sultan Selangor menitahkan agar semua pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selagi Jais tidak menyiapkan laporan mereka.

"Saya nak tanya bloger Umno, siapa sebenarnya derhaka," katanya.

Ekoran itu juga beliau mahu pihak istana memberi teguran kepada pihak-pihak yang membelakangkan titah sultan tersebut.

Dalam isu pemeriksaan gereja ini, PAS berpendirian agar Jais segera membuat pendakwaan jika mereka mempunyai bukti bahawa wujud gerakan mengkristiankan orang Islam.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5001-selangor-digesa-siasat-dakwaan-umno-dalang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...