Saturday, August 20, 2011

Siasat ‘tangan ghaib’ belakang JAIS

Posted by admin on August 19th, 2011

Dewan Pemuda PAS Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menyiasat dakwaan berhubung “tangan ghaib Umno” dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja pada awal bulan ini.Ketua pergerakan itu, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata gesaan itu dibuat susulan kenyataan setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali sebelum ini yang mendakwa PAS mempunyai bukti berhubung peranan Umno dalam tindakan berkenaan.
Tindakan JAIS memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama itu pada 3 Ogos lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak pihak membantah kaedah dan tujuan operasi itu dijalankan.

Laporan terperinci daripada JAIS, yang ditunggu ramai pihak, kemudiannya dikatakan muncul di laman blog pro Umno sejak beberapa hari lalu selepas rakaman video berhubung serbuan itu juga tersebar di laman sama.

Perkembangan itu menguatkan lagi syak daripada PAS yang berpendapat bahawa terdapat elemen campurtangan daripada Umno.

“Jadi kita minta kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya atas dakwaan ini,” kata Hasbullah selepas menyerahkan memorandum berkenaan di Bangunan SUK di Shah Alam hari ini.

Dalam memorandum tersebut, Hasbullah juga berkata “amat malang sekali sekiranya operasi tersebut didalang dan dipengaruhi oleh Umno seperti yang didakwa oleh Datuk Mustafa Ali,”

Memorandum berkenaan juga menyebut, Pemuda PAS Selangor bersetuju sekiranya JAIS membuat pendakwaan di mahkamah “sekiranya benar terdapat bukti bahawa ada usaha memurtadkan umat Islam.”

Hasbullah dan timbalannya, Mohd Sany Hamzan turut mengadakan pertemuan selama kira-kira setengah jam bersama exco hal ehwal agama Islam, Datuk Hasan Ali bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Terdahulu, memorandum berkenaan turut diserahkan kepada menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim melalui setiausaha sulitnya, Mustapha Mohd Talib.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar)menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Umno berhubung dakwaannya bahawa ada campur tangan parti Melayu terbesar itu dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja baru-baru ini. Sebaliknya tegas Mustafa, beliau mempunyai maklumat sahih bahawa Umno terlibat dalam tindakan Jais itu.

Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.


http://www.kl-today.com/2011/08/siasat-tangan-ghaib-belakang-jais/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...